Sanusi Hantar LOD Kepada Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dakwa Ucapan Diputar Belit

KUALA LUMPUR | 29 Julai 2026 – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, telah mengemukakan surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) kepada Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Sathia Prakash Nadarajan, susulan dakwaan bahawa kenyataannya ketika berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan telah dipetik dan dipersembahkan di luar konteks sebenar.

Sanusi berkata tindakan undang-undang itu dibuat kerana mendakwa terdapat pihak yang memutar belit, menokok tambah dan memanipulasi ucapannya sehingga membawa maksud berbeza daripada apa yang sebenarnya disampaikan.

Beliau turut memberi bayangan bahawa lebih ramai individu akan menerima surat tuntutan yang sama sekiranya terus menyebarkan tafsiran yang disifatkannya tidak tepat.

Kontroversi itu tercetus selepas ucapan Sanusi ketika ceramah kempen di Jempol menjadi tular apabila beliau menyatakan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India, China, Kemboja dan Thailand.

Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi serta kritikan daripada beberapa pihak yang menganggapnya menyentuh isu kaum.

Susulan ucapan berkenaan, Sathia bersama dua individu lain hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada Jumaat lalu untuk membuat tiga laporan polis berasingan terhadap Sanusi. Beliau berpendapat naratif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja atau 3R yang dibawa oleh pemimpin PAS tidak seharusnya dijadikan bahan kempen politik kerana berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

Terdahulu, polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung ucapan berkenaan, manakala Sanusi menegaskan kenyataannya hanya merujuk kepada hakikat sejarah bahawa orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain selain Malaysia dan bukannya bertujuan menghina mana-mana kaum. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share