Sanusi: Isu Tanah Melayu Diputar Belit, Kedah Bukti Tiada Rasis

SEREMBAN | 30 Julai 2026 – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor menegaskan kenyataannya berhubung istilah “Tanah Melayu” sebelum ini telah diputar belit oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan salah faham, sedangkan beliau hanya membicarakan fakta sejarah dan bukannya menyeru mana-mana kaum meninggalkan negara ini.

Berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban di Dewan Perdana KRS sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sanusi berkata pengalaman berkempen di negeri itu menunjukkan semakin ramai rakyat mula meneliti sejarah bagi memahami pembentukan negara.

Menurut beliau, sejarah perlu dipelajari untuk dijadikan pedoman dalam merancang masa depan negara.

“Kalau sejarah itu baik, kita rancang untuk diteruskan. Kalau sejarah itu pilu dan sedih, kita rancang supaya ia tidak berulang lagi. Itulah sejarah,” katanya.

Beliau berkata jasa nenek moyang yang menerima pelbagai kaum sebagai rakyat di Tanah Melayu juga tidak sepatutnya dipadam atau dilupakan.

“Betapa baiknya nenek moyang kita sewaktu menerima semua orang yang berada di sini untuk menjadi rakyat Tanah Melayu, baiknya kita, maka kena disebut supaya tidak ada yang dilupakan. Takkanlah benda baik tak boleh disebut,” katanya.

Mengulas kontroversi yang timbul, Sanusi menegaskan beliau sama sekali tidak pernah menyuruh masyarakat bukan Melayu kembali ke negara asal seperti yang didakwa.

“Saya nak habak kata tanah ini didiami oleh orang Melayu, namanya Tanah Melayu. Simple. Itu pun tak faham. Dia usaha untuk belit, memutar belitkan, menokok tambah supaya timbul kemarahan, kebencian dan salah sangka, supaya kita bergaduh,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pemimpin yang gagal memahami sejarah dan latar belakang pembentukan negara tidak layak mentadbir kerana menurutnya sesebuah kerajaan perlu memahami akar sejarah masyarakat yang dipimpinnya.

Pada masa sama, Sanusi menolak dakwaan bahawa beliau bersikap perkauman dengan menjadikan rekod pentadbiran kerajaan Kedah sebagai contoh.

Beliau mendedahkan kerajaan negeri sebelum ini menyalurkan bantuan tahunan kepada tiga sekolah persendirian Cina di Kedah, selain sedang mempertimbangkan pengurangan tunggakan cukai tanah sekolah-sekolah berkenaan.

“Hari ini masuk Exco, saya pertimbang dengan rakan-rakan Exco di Kedah. Daripada RM444,000 tunggakan itu, kita hapuskan 90 peratus. Mereka cuma perlu bayar kira-kira RM44,000,” katanya.

Menurut beliau, sekolah persendirian Cina juga memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan dan sewajarnya dibantu.

Sanusi berkata Kedah kekal berada dalam keadaan aman dan harmoni di bawah pentadbiran Perikatan Nasional, dengan masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam hidup bersama tanpa gangguan.

Beliau turut mendakwa negeri itu mencatat pelaburan berjumlah RM183 bilion dalam tempoh enam tahun serta merekodkan lebihan belanjawan, termasuk surplus sebanyak RM48 juta bagi tahun kewangan terakhir.

“Bukan sekolah pondok sahaja kita tolong, sekolah agama kita tolong, sekolah Cina pun kita tolong. Jadi macam mana kata kita rasis?” katanya.

Mengakhiri ucapan, Sanusi menyeru pengundi Negeri Sembilan memberikan sokongan kepada calon gabungan Barisan Nasional–Perikatan Nasional (BN–PN) bagi membentuk kerajaan negeri baharu selepas pengundian pada 1 Ogos ini.

Beliau turut menggesa anak-anak muda yang berada di luar Negeri Sembilan supaya pulang mengundi kerana menurutnya pilihan raya kali ini bakal menjadi detik penting dalam menentukan hala tuju politik negeri itu.

“Baliklah ramai-ramai jalankan tanggungjawab supaya pada 1 Ogos 2026, tuan-tuan semua terbabit dalam satu peristiwa besar, mencipta sejarah menumbangkan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share