
KUALA LUMPUR, 10 Jul 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) segera melunaskan bayaran kontraktor pembersihan sekolah yang tertunggak sejak tahun lepas.
Wan Saiful berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, enam negeri terlibat masih belum membayar tunggakan kontraktor pembersihan sekolah adalah di Pulau Pinang; Wilayah Persekutuan; Selangor; Pahang; Kedah; Melaka; dan Negeri Sembilan.
“Saya dimaklumkan ini adalah disebabkan oleh Arahan Perbendaharaan (AP58) yang dikeluarkan pada penghujung tahun 2024.
“Walaupun pada hujung setiap tahun memang menjadi kebiasaan untuk bayaran tertangguh beberapa bulan akibat AP58, di bawah kerajaan ini tempoh penangguhan adalah amat lama dan tidak munasabah,” kata ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu itu.
Tegasnya, kelewatan itu menjejaskan operasi syarikat kontraktor, sehingga memberi kesan kepada ribuan pekerja yang bertugas di bawah kontrak-kontrak yang terlibat.
“Akibatnya, ada usahawan yang terpaksa berhutang atau mengambil ‘factoring’ untuk menampung kegagalan kerajaan membuat bayaran.
“Mereka terpaksa menanggung kos tambahan faedah atau ‘interest’ atas hutang itu, yang sebenarnya tidak perlu sekiranya kerajaan ini lebih cekap,” kata Wan Saiful lagi.
Isu itu katanya telah diangkat sejak 2023 namun malangnya kerajaan terus gagal menyelesaikannya.
“Nampaknya kerajaan ini bukan saja tidak cekap, tetapi juga tidak prihatin terhadap beban yang ditanggung mereka yang berkhidmat menjalankan kontrak kerajaan.
“Saya menggesa Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) segera menyelesaikan bayaran-bayaran tertunggak,” katanya.
Wan Saiful turut menggesa Ketua Audit Negara mengaudit kelemahan yang amat ketara dalam hal ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.