Umno, DAP Berhenti Bersandiwara, Kata Ketua Pembangkang Melaka

MELAKA, 11 Mei 2025 – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub  mempersoalkan kerjasama antara Umno dan DAP dalam kerajaan campuran PH-BN di Melaka dan menyifatkan ia sebagai satu “sandiwara politik” yang tidak lagi diyakini rakyat.

Menurut beliau, walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan berjaya membentuk kerajaan negeri, prestasi Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merosot dengan ketara sehingga “kalah teruk” dan kehilangan sokongan pengundi Melayu serta bukan Melayu.

“Umno sedar mereka bakal kehilangan undi dalam PRN akan datang. Pengundi bukan Melayu juga sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan PH-BN, baik di peringkat negeri mahupun pusat,” katanya di media sosial facebook.

Dr Mohd Yadzil mendakwa, kerjasama Umno dan DAP memberi kesan negatif kepada sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, dan merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang menyaksikan penurunan undi ketara buat Umno.

“Mereka tahu sentimen ‘Undi BN, dapat DAP’ menyebabkan kehilangan sokongan. Maka timbullah pelbagai sandiwara untuk mengaburi mata rakyat. Tapi rakyat dah tahu siapa pengarah dan bagaimana akhirnya skrip ini,” katanya.

Beliau menggesa agar Umno dan DAP menghentikan sandiwara politik yang menurutnya hanya merugikan rakyat dan mencemarkan proses demokrasi.

Beliau turut membidas kedudukan Umno dalam kerajaan yang disifatkannya sebagai hanya bergantung ihsan daripada rakan gabungan, khususnya DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Menteri besar di beberapa negeri termasuk Melaka, Perak dan Pahang dilantik bukan atas kekuatan Umno, tetapi kerana ihsan PH-DAP,” katanya.

Dakwanya, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini berada dalam keadaan tertekan dengan kes mahkamah yang belum selesai dan boleh disingkap semula pada bila-bila masa.

“Laungan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Hidup Islam’ kini tinggal sejarah. Realitinya, Umno dan presidennya kekal di bawah telunjuk perdana menteri,” katanya merujuk kepada hubungan rapat antara kepimpinan Umno dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share