
KUALA LUMPUR, 14 MEI 25 – Penubuhan tribunal khas bagi menangani isu-isu berkaitan kesalahan dan pelanggaran terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu disegerakan, kata Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
Profesor sejarah sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) itu menegaskan, adalah memalukan isu berkaitan bahasa menjadi perdebatan walaupun negara sudah Merdeka sejak 68 tahun lalu.
“Sebenarnya tidak perlu wujud isu bahasa dalam negara Merdeka. Ini satu perkara yang pelik, kita perlu ada ‘political will’ untuk melaksanakan tanpa kompromi dari segi penggunaan bahasa contohnya dalam urusan rasmi, nama jalan, papan tanda, iklan, dan juga nama tempat tidak ada kompromi.
“Malaysia perlu ada satu pihak berkuasa, bukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), DBP tiada kuasa. Fungsi dia melaksanakan bahasa dia tiada kuasa menghukum,” katanya, kepada politiko.my.
Beliau berkata demikian mengulas isu penggunaan papan tanda menggunakan bahasa Mandarin yang berlaku di Port Dickson baru-baru ini seperti didedahkan Chegu Bard dan Perkasa.
Tambah Murad, beliau sudah beberapa kali membuat saranan berhubung penubuhan tribunal itu namun masih tiada sebarang tindakan lanjut.
“Satu tribunal yang ada kuasa perundangan, pentadbiran, urus dan buat keputusan (berkaitan pelanggaran penggunaan bahasa)…tribunal ini mesti dipengerusikan seorang hakim.
“Jika kita anggap bahasa amat penting dan menentukan kedaulatan negara dan diletak dalam Perlembagaan kita perlu serius adakan tribunal dan beberapa akta perlu digubal.
“Tribunal mesti ada kuasa ke atas mana-mana badan di Malaysia dari segi bahasa. Satu badan untuk menghakimi bahasa kebangsaan,” kata Murad. @politiko.my