
KUALA LUMPUR, 10 NOV 25 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan pelajar perlu menyeimbangkan ilmu dengan nilai dan budi pekerti mulia agar ilmu yang dimiliki tidak kehilangan keberkatan serta makna.
Titah baginda, kecemerlangan sebenar bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut dinilai melalui keperibadian dan adab seseorang.
“Ilmu yang dihiasi dengan nilai dan budi pekerti akan melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dalam pemikiran, tetapi juga luhur dalam tindakan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Orientasi Pembelajaran Cemerlang Untuk Pelajar Terbaik dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis 2025 di Hotel Seri Malaysia, Kangar.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah lagi, pelajar wajar membina kekuatan diri berasaskan kejujuran, kesungguhan, rasa hormat kepada guru serta kasih kepada ibu bapa.
“Kejayaan yang disertai nilai-nilai murni akan menjadi bekalan berharga sepanjang hayat,” titah baginda.
Terdahulu, keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.
Ia bertujuan membimbing pelajar cemerlang dan pengawas sekolah agar terus memperkukuh jati diri, kepimpinan serta semangat kecemerlangan akademik yang berterusan, selaras dengan aspirasi pendidikan negeri Perlis. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.