WAWASAN Negara Dapat ‘Nama Besar’, Tokoh NGO Islam Sertai Parti

GOMBAK | 22 Ogos 26 – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) menerima kemasukan tokoh NGO Islam, Haji Aminuddin Yahaya, dalam perkembangan yang dilihat memberi suntikan baharu kepada usaha parti itu memperkukuh kedudukannya dalam politik negara.

Kemasukan Aminuddin diumumkan menerusi ucapan alu-aluan Ketua Bahagian WAWASAN Gombak yang mengucapkan selamat datang kepada beliau ke dalam keluarga parti berkenaan.

Ketika dihubungi politiko mengenai berita itu, Aminuddin hanya membalas “akhirnya’ sebagai tanda beliau telah membuat keputusan tersebut.

Aminuddin bukan nama asing dalam gerakan NGO Islam negara, malah pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Beliau turut mempunyai pengalaman politik apabila bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Temerloh atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA).

Penyertaan Aminuddin memberi nilai tambah kepada WAWASAN dari segi pengalaman gerakan masyarakat, jaringan NGO dan pemahaman terhadap isu-isu berkaitan politik Melayu-Islam.

Ia juga memperlihatkan usaha WAWASAN membina platform politik dengan menghimpunkan individu yang mempunyai latar belakang berbeza, termasuk daripada gerakan masyarakat dan NGO.

Perkembangan itu hadir ketika WAWASAN sedang giat memperkukuh struktur organisasinya di seluruh negara dan menarik penyertaan baharu di peringkat akar umbi.

Bagi WAWASAN, kemasukan tokoh seperti Aminuddin dijangka membantu memperluas jaringan parti serta memberikan dimensi baharu kepada agenda politik yang sedang dibangunkan.

Kemasukan itu juga bakal menjadi antara perkembangan yang diperhatikan dalam melihat sejauh mana WAWASAN mampu menarik tokoh berpengalaman daripada luar struktur politik tradisional ke dalam platform baharu parti berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share