Tujuh puluh lima tahun PAS membuktikan bahawa parti itu mampu bertahan. Namun, sejarah selepas ini tidak lagi akan menilai PAS berdasarkan usia dan ketahanannya, tetapi berdasarkan kesediaannya untuk memimpin seluruh negara.
Sambutan 75 tahun Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukan sekadar perayaan usia sebuah parti politik. Ia merupakan pengiktirafan terhadap ketahanan sebuah gerakan yang telah melalui tujuh orang presiden, pelbagai zaman kepimpinan negara, kemenangan dan kekalahan pilihan raya, perpecahan dalaman serta pembentukan dan pembubaran beberapa gabungan politik.
Tidak banyak parti politik mampu bertahan selama tiga suku abad tanpa kehilangan identiti asalnya. PAS dapat bertahan kerana kewujudannya tidak bergantung pada seorang tokoh, satu isu atau satu pilihan raya.
Islam memberikan PAS suatu tujuan politik dan moral yang melangkaui generasi, sementara gabungan dakwah, tarbiah dan siyasah membentuk ahli, memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta menggerakkan perjuangannya melalui saluran demokrasi.
Ketahanan PAS turut disokong oleh struktur organisasi yang tersusun. Muktamar, Majlis Syura Ulamak, dewan-dewan parti serta jaringan kawasan dan cawangan membolehkan proses pembinaan kepimpinan, perbahasan dasar dan penyesuaian strategi dilaksanakan secara berterusan.
PAS bukan sekadar sebuah parti pilihan raya, tetapi sebuah parti-gerakan yang mempunyai akar umbi, disiplin dan kesinambungan organisasi.
PAS telah berkembang daripada sebuah gerakan yang memperjuangkan kelangsungan politik kepada parti pembangkang yang dominan. Pengalaman mentadbir Kelantan dan Terengganu serta penglibatannya dalam Kerajaan Persekutuan melalui Perikatan Nasional telah memberikan PAS pendedahan terhadap realiti pentadbiran, birokrasi dan pengurusan kuasa.
Pencapaian 43 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 merupakan titik perubahan terbesar dalam sejarah PAS. Ia mengangkat PAS daripada sebuah parti komponen kepada parti tunggal yang memenangi kerusi Parlimen terbanyak dalam PRU15. Kedudukan tersebut membawa pengaruh yang besar, tetapi pada masa yang sama meningkatkan tuntutan rakyat terhadap kepimpinan, dasar dan keupayaan pemerintahannya.
Walau bagaimanapun, 43 kerusi masih jauh daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan. Matematik ini menjelaskan bahawa PAS tidak boleh menuju Putrajaya secara bersendirian. PAS memerlukan rakan politik, perluasan sokongan geografi dan penerimaan yang melangkaui kelompok pengundi tradisinya.
PAS kini boleh dianggap sebagai sebuah “kerajaan menunggu”. Namun, kerajaan menunggu bukan sekadar menunggu kerajaan sedia ada tumbang atau pilihan raya seterusnya diadakan. Ia mesti menyediakan kepimpinan, dasar, kepakaran, jentera pentadbiran dan keyakinan rakyat sebelum mandat pemerintahan diberikan.
Di sinilah terletaknya perbezaan antara memenangi kuasa dengan benar-benar bersedia menggunakan kuasa.
Sejarah PAS memperlihatkan kemampuannya menggabungkan keistiqamahan dasar dengan kebijaksanaan siyasah. PAS pernah bekerjasama dengan pelbagai pihak dan membentuk beberapa gabungan politik tanpa menghapuskan identiti perjuangannya.
Namun, pengalaman tersebut juga mengajar bahawa pakatan tidak boleh dibina semata-mata atas keperluan pilihan raya. Ia memerlukan matlamat bersama, pembahagian peranan yang adil, mekanisme penyelesaian pertikaian dan kejujuran antara rakan.
PAS juga mempunyai tanggungjawab penting dalam usaha menyatukan kekuatan politik Melayu-Islam. Namun, penyatuan tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai usaha mewujudkan dominasi sempit atau menafikan hak masyarakat lain.
Penyatuan Melayu-Islam hanya akan memperoleh legitimasi nasional apabila kekuatan majoriti digunakan untuk menjamin keadilan kepada semua, bukan untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat lain.
Sebagai kelompok majoriti, Melayu-Islam memikul tanggungjawab lebih besar untuk menyediakan kepimpinan yang adil, stabil serta melindungi kepentingan semua warganegara.
Jika mahu memimpin Putrajaya, PAS perlu menembusi kawasan bandar dan separa bandar, memperoleh keyakinan pengundi bukan Melayu serta membina hubungan lebih kukuh dengan Sabah dan Sarawak.
PAS juga perlu meyakinkan golongan profesional, kelas menengah, komuniti perniagaan, penjawat awam, institusi negara dan generasi muda bahawa pemerintahannya akan membawa keadilan, kestabilan dan peluang yang saksama untuk semua.
Cabaran seterusnya ialah pengayaan atau enrichment dalam PAS. Kekuatan ulama, aktivis dan jentera akar umbi perlu diperkaya melalui penyertaan lebih ramai ilmuwan, profesional, teknokrat serta tokoh berpengalaman dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan, perundangan, kesihatan, teknologi, keselamatan, pertahanan dan diplomasi.
Kepimpinan ulama memberikan pedoman nilai, manakala golongan profesional membantu menterjemahkan nilai tersebut kepada dasar awam yang praktikal dan berkesan.
PAS juga perlu beralih daripada bahasa pembangkang kepada bahasa pemerintahan. Rakyat mahu mengetahui bagaimana PAS akan menangani kos sara hidup, mencipta pekerjaan, menarik pelaburan, memperbaharui pendidikan, meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan menyediakan negara menghadapi perubahan teknologi.
Integriti merupakan asas pemerintahan, tetapi integriti mesti diterjemahkan melalui kompetensi, keberkesanan dasar dan pencapaian yang dapat dirasai rakyat.
Sambutan 75 tahun seharusnya menjadi ruang untuk PAS melakukan penilaian kendiri secara jujur. Adakah 43 kerusi merupakan lantai baharu atau siling sokongannya? Mampukah PAS memperoleh keyakinan masyarakat bukan Melayu?
Adakah pengalaman mentadbir beberapa negeri mencukupi untuk mengurus sebuah Persekutuan yang jauh lebih kompleks? Bersediakah PAS memperkukuh institusi, menghormati semak dan imbang serta memastikan kuasa pemerintahan sentiasa tertakluk kepada prinsip undang-undang dan pertanggungjawaban?
Tujuh puluh lima tahun pertama membuktikan bahawa PAS mempunyai ideologi, organisasi, disiplin dan daya tahan untuk terus berada dalam arus utama politik negara. Perjalanan seterusnya mesti membuktikan bahawa PAS juga mempunyai keluasan pemikiran, kepelbagaian kepakaran dan kebijaksanaan untuk memimpin seluruh Malaysia.
Bertahan sudah dibuktikan. Kini, ujian sebenar PAS ialah meyakinkan rakyat bahawa parti itu bersedia menggunakan kuasa secara amanah, cekap dan adil demi membina sebuah Malaysia yang stabil, makmur dan sejahtera untuk semua.
Dr Armin Baniaz Pahamin, Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.