
SEREMBAN | 3 Ogos 26 – Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menyifatkan kemenangan dua calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai detik bersejarah yang menandakan kembalinya MCA ke Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas hampir 18 tahun.
Menurut beliau, keputusan itu merupakan satu pengiktirafan daripada rakyat terhadap usaha berterusan parti berkenaan dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat setempat.
“MCA merakamkan ribuan terima kasih kepada pengundi Negeri Sembilan yang telah membuat keputusan dan memberi peluang kepada wakil MCA menjadi ADUN dalam pilihan raya kali ini.
“Ini adalah satu kemenangan rakyat kerana kita telah menampilkan tujuh orang calon dan dua orang berjaya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Wee berkata, kali terakhir MCA memenangi kerusi DUN di Negeri Sembilan adalah pada 2008 menerusi DUN Chennah sebelum parti itu berdepan tempoh panjang tanpa sebarang wakil rakyat di peringkat negeri.
“Setelah sekian lama, hampir 18 tahun, kita sekali lagi menerima berita baik dan sokongan daripada rakyat untuk menghantar dua orang wakil ke Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan itu membuktikan bahawa MCA masih mempunyai ruang untuk bangkit dan memainkan peranan penting dalam landskap politik negeri.
Salah seorang calon yang berjaya ialah John Siang Kong Chun yang memenangi kerusi DUN Chennah selepas menewaskan lawannya dengan majoriti 688 undi.
Menurut Wee, kemenangan tersebut bukan sesuatu yang mudah memandangkan calon berkenaan berdepan saingan daripada seorang tokoh politik berprofil tinggi.
“Ini satu kemenangan yang agak sukar. Bukan mudah bagi orang muda ini untuk bersaing dengan seorang tokoh bertaraf menteri.
“Selepas bertungkus-lumus selama beberapa tahun di kawasan itu, beliau akhirnya berjaya memperoleh kemenangan,” katanya.
Wee turut mengucapkan tahniah kepada Ko Kim Sui yang berjaya merampas kerusi DUN Repah daripada penyandang sebelum ini.
Beliau berkata, kemenangan itu merupakan hasil kerja keras jentera parti, selain pendekatan yang lebih dekat dengan rakyat, khususnya golongan muda dan warga emas.
“Saya berharap kedua-dua wakil rakyat ini akan memainkan peranan penting dalam membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada lima lagi calon MCA yang tewas dalam pilihan raya tersebut, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai satu langkah awal ke arah memperkukuhkan semula kedudukan parti berkenaan di Negeri Sembilan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.