
KUALA LUMPUR, 28 OKT 25 – Pimpinan Bersatu yang bertelagah disaran melaksanakan gencatan senjata ketika Sabah bakal berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Datuk Razali Idris.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata, pergaduhan dan percakaran sesama sendiri, terutama berkait isu kepimpinan, boleh menjejaskan misi Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Sabah pada PRN bulan depan.
“Saya minta semua bertenang dan beri tumpuan kepada PRN Sabah.
Kita adakan ‘gencatan senjata’ seketika kerana ada agenda lebih besar yang perlu diutamakan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Tambahnya, isu kepimpinan dan desakan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat wajar diketepikan sementara bagi memberikan tumpuan kepada pilihan raya.
“PN akan bertempur pada PRN dan berhasrat menawan negeri itu tetapi jika berlaku pergaduhan sesama sendiri, ia akan menimbulkan masalah serta menjejaskan usaha parti untuk menguasai Sabah,” katanya.
Ketua Bersatu Terengganu itu berkata, PN telah membuat persiapan akhir untuk menghadapi PRN Sabah pada 29 Nov depan.
Sekurang-kurangnya tujuh ketua bahagian Bersaty termasuk Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa, Muhyiddin mengundur diri daripada terus memegang jawatan tertinggi parti.
Saifuddin merupakan ahli Parlimen ketiga yang secara terbuka menentang Muhyiddin.
Dua yang lain ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Desakan turut dibuat agar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digugurkan daripada Setiausaha Agung serta Datuk Tun Faisal Ismail Aziz digantikan bagi jawatan ketua penerangan.
Ia bertujuan bagi membersihkan parti daripada masalah yang menjejaskan reputasi.
Bagaimanapun, kenyataan Razali ini menjadi persoalan kerana Lembaga Disiplin memecat Ketua-Ketua Bahagian ketika parti sedang bersiap sedia menjelang PRN Sabah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.