Wan Saiful Persoal Siasatan 124B Terhadap Aktiviti Media

KUALA LUMPUR | 11 Mac 26 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menyiasat satu laporan polis berkaitan aktiviti media di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menjejaskan demokrasi berparlimen.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata siasatan tersebut menimbulkan persoalan serius memandangkan Seksyen 124B sebelum ini difahami merujuk kepada aktiviti ganas atau tindakan tidak berperlembagaan yang bertujuan menggulingkan institusi Parlimen.

Wan Saiful berkata beliau dimaklumkan beberapa individu dari kalangan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan berhubung laporan berkenaan, dan beliau sendiri dijadualkan hadir memberi keterangan pada hari ini.

“Saya juga tidak pasti mengapa saya dipanggil. Saya tertanya-tanya adakah ini satu cubaan untuk mengaitkan pembangkang dengan isu ini,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada perbahasan Parlimen pada 17 April 2012 yang menurutnya menjelaskan bahawa frasa “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” di bawah Seksyen 124B merujuk kepada tindakan ganas atau usaha tidak sah untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan bagaimana laporan media atau kempen awam boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Maka timbul persoalan asas: bagaimana laporan media atau kempen awam boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen? Adakah kempen awam oleh ahli politik atau kritikan terhadap kerajaan yang disiarkan oleh media juga akan menjadi kesalahan di bawah kerajaan Madani ini?” katanya.

Wan Saiful turut menyifatkan siasatan di bawah Seksyen 124B dalam kes tersebut sebagai tidak munasabah dan berpotensi menjadi satu bentuk penyalahgunaan kuasa sekiranya ia digunakan terhadap aktiviti media atau kempen awam.

Beliau juga memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh memberi kesan serius terhadap kebebasan media, selain mewujudkan risiko kepada pengamal media yang mungkin berdepan siasatan di bawah peruntukan undang-undang tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, Wan Saiful turut merujuk kepada satu laporan polis yang tular di internet yang mendakwa wujud perbincangan antara keluarga Allahyarham Daim Zainuddin dengan sebuah firma asing bagi menggunakan media antarabangsa.

Beliau mendakwa laporan polis tersebut dibuat oleh seorang editor media yang juga menjalankan perniagaan konsultansi perhubungan awam, dan tidak menolak kemungkinan laporan berkenaan mempunyai motif tertentu susulan penolakan tawaran perkhidmatan oleh pihak yang berkaitan.

Wan Saiful bagaimanapun menegaskan bahawa setiap individu berhak mempertahankan diri dan membetulkan naratif melalui saluran media atau mana-mana platform yang sah di sisi undang-undang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share