
KUALA LUMPUR, 26 Jun 25 – Pelajar cemerlang dengan keputusan 10 A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memohon ke program Matrikulasi akan diberi tempat tanpa mengira latar belakang mereka.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, perkara itu dipersetujui dan diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Ini termasuk pelajar yang mendapat 10A dan terdapat keputusan mata pelajaran A-.
“Dasar ini sama seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.
“Ketetapan ini dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang 10 A SPM 2024 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, KPM menjelaskan, sistem kuota sedia ada untuk Bumiputera terus kekal dan tidak terjejas.
“Kerajaan Madani akan terus memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan aset masa hadapan negara,” kata kenyataan itu lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.