
KUALA LUMPUR, 30 DIS 25 — Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, menegaskan bahawa naratif yang menggambarkan PAS sebagai menyerang Raja Melayu dalam kemelut politik di Perlis adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi merosakkan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, isu sebenar di Perlis bukanlah soal mencabar institusi beraja, sebaliknya berkait dengan usaha mempertahankan mandat rakyat serta kegagalan kepimpinan utama PN memainkan peranan berkesan dalam mengurus krisis politik negeri itu.
“Malaysia adalah negara berperlembagaan dengan kedudukan Raja Berpelembagaan yang jelas dalam sistem demokrasi. Jangan lagakan kuasa demokrasi rakyat dengan sistem beraja,” katanya dalam satu kenyataan.
Chegubard turut mengingatkan bahawa sepanjang pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Bersatu dan PN pernah berdepan tuduhan ingkar titah Yang di-Pertuan Agong, namun kepimpinan ketika itu tetap mempertahankan kerangka undang-undang dan sistem demokrasi sedia ada.
Beliau merujuk kepada situasi pasca Pilihan Raya Umum lalu apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan PN membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, namun Muhyiddin menolak cadangan tersebut secara terbuka. Tindakan itu, katanya, mengundang kecaman hebat termasuk tuduhan derhaka, namun PAS tetap berdiri bersama Bersatu ketika itu.
“Malangnya kali ini, kita seolah-olah menghentam rakan sendiri, PAS, dengan melabel mereka sebagai menyerang Istana,” katanya.
Chegubard juga mengkritik siri kenyataan Ketua Penerangan Bersatu yang disifatkannya sebagai mencurah “garam ke luka”, termasuk amaran bahawa PAS tidak mempunyai pemimpin layak serta penolakan terhadap kemungkinan jawatan Pengerusi PN disandang parti lain.
Beliau menyifatkan dakwaan bahawa PAS mengidamkan jawatan Pengerusi PN sebagai mengelirukan, manakala kenyataan yang mengaitkan kegagalan MIC dan MCA menyertai PN dengan PAS sebagai “jahat dan tidak adil”.
Selain itu, Chegubard menuntut penjelasan berhubung kenyataan bahawa Muhyiddin Yassin akan kekal bersama Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), sambil mempersoalkan sama ada Bersatu kini sudah tidak berminat dengan PN dan berhasrat beralih kepada gabungan lain.
“Adakah kita mahu memecahkan pembangkang?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan hala tuju Ketua Penerangan Bersatu yang menurutnya dilihat lemah dalam menyerang kerajaan, tetapi pantas apabila melibatkan serangan sesama rakan pembangkang, sehingga menimbulkan persepsi wujudnya unsur sabotaj dalaman.
Sehubungan itu, Chegubard menyeru semua pihak dalam PN agar bertenang dan kembali ke meja rundingan sebaik sahaja Presiden Bersatu pulang daripada bercuti di luar negara.
“Inilah masanya PN ‘reset’, membuka pintu yang selama ini tertutup, menyatukan kekuatan rakyat untuk melawan regim, memperjuangkan isu rakyat dan membina negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikatakan menawarkan diri meletak jawatan kerana berasa kecewa dengan tindakan PAS yang dilihat memilih pendekatan konfrontasi secara terbuka terhadap Istana Perlis, sehingga mencetuskan ketegangan berpanjangan dan mencalar imej PN di negeri berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.