Sarawak Hantar Surat Tuntutan Kepada Petronas, Kata Laporan

KUALA LUMPUR, 2 MEI 25 – Kerajaan negeri Sarawak menghantar surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan melakukan pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016, lapor Utusan Malaysia.

Pelanggaran itu membabitkan operasi sebuah loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Miri, Sarawak.

“Sehubungan dengan perkara di atas, syarikat anda adalah dengan itu telah melanggar Seksyen 7(e) di bawah Ordinan tersebut,” kata surat berkenaan.

Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji berkenaan beroperasi secara haram atau tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.

Surat itu menyatakan, Seksyen 7(e) merujuk kepada aktiviti membina, mengurus atau menyelenggara saluran paip gas atau peralatan, kelengkapan atau mekanisme lain bagi tujuan pengagihan gas.

Dalam kes ini, gas dimaksudkan adalah gas asli (NG).

Kerajaan negeri juga memberi tempoh selama 21 hari dari tarikh surat berkenaan, yang bertarikh 30 April 2025, untuk Petronas Carigali mendapatkan lesen atau berdepan penalti kewangan.

“Sila ambil perhatian sekiranya anda meneruskan aktiviti yang dinyatakan di atas di loji tersebut tanpa memperoleh lesen yang dikehendaki di bawah Seksyen 7(e) dalam tempoh 21 hari dari tarikh surat ini, penalti kewangan akan dikenakan ke atas anda di bawah Seksyen 21A Ordinan Pengagihan Gas 2016,” tulis surat itu.

Sarawak menubuhkan syarikat minyaknya, Petros pada 2017 untuk mengukuhkan kawalan terhadap sumber petroleum negeri itu.

Pertikaian antara dua syarikat minyak itu juga dikatakan menjadi punca pelabur asing, sebuah syarikat minyak Amerika Syarikat, ConocoPhillips menarik diri daripada projek utama minyak dan gas laut dalam di luar pesisir Malaysia Timur.

Syarikat Amerika itu dilaporkan berundur secara senyap daripada usaha sama dengan Petronas di medan minyak dan gas Salam-Patawali — sebuah projek bernilai RM13.7 bilion (US$3.13 bilion) yang ditemui pada 2018. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share