Simpan, Guna Dana Politik Untuk Politik Tak Salah, Boleh ‘Buang Kes’ Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 29 Jun 25 – Kes mahkamah melibatkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh digugurkan kerana dana politik yang diterima tidak digunakan atas tujuan peribadi sebaliknya digunakan untuk kerja-kerja politik, kata bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Marzuki berkata, ia disahkan oleh mahkamah melalui keputusan dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Jika sikap mahkamah (seperti dalam kes Syed Saddiq dan Ku Nan) ialah menerima, menyimpan dan menggunakan dana politik untuk tujuan politik bukanlah satu kesalahan, maka mahkamah boleh ‘ buang kes’  Muhyiddin dengan mudah,” katanya, dalam satu kenyataan.

Mahkamah Rayuan minggu lalu melepas dan membebaskan Syed Saddiq atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada Bersatu.

“Mahkamah Tinggi mendapati Syed Saddiq bersalah. Tetapi Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan beliau selepas didapati kesemua wang tersebut digunakan untuk tujuan politik. Mahkamah mendapati tidak ada satu sen pun digunakan untuk tujuan peribadi,” kata Marzuki.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan turut melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan daripada tuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta.

Dua kes itu kata Marzuki mengesahkan sekiranya wang yang diterima oleh ahli politik digunakan untuk tujuan politik, ia bukanlah satu kesalahan.

“Kes Muhyiddin pelik sedikit.Wang tidak diterima oleh Muhyiddin. Tidak ada satu sen pun wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya atau akaun syarikatnya atau disimpan dalam bentuk tunai.

“Tidak ada. Kesemua wang dimasukkan terus ke dalam akaun parti Bersatu untuk tujuan dana politik.

“Bukankah kes Muhyiddin lebih jelas berbanding kes Ku Nan dan Syed Saddiq?,” soal Marzuki lagi.

Jelasnya, apabila wang dimasukkan ke akaun parti, wang itu dibelanjakan untuk tujuan membiayai kegiatan parti.

“Wang ini adalah dana politik yang tidak boleh dianggap sebagai suapan atau rasuah.

“Bukan mudah untuk ‘sailang’ wang parti. Setiap transaksi ada rekod dalam penyata akaun bank parti. Akaun parti juga diaudit setiap tahun oleh auditor bertauliah. Jika ada penyelewengan, ia boleh dikesan,” katanya.

Sebaliknya, dalam kes Muhyiddin tidak ada bukti wang parti digunakan untuk tujuan peribadi.

“Jika ada sudah tentu beliau didakwa atas kesalahan pecah amanah. Tetapi tidak ada,” tambah Marzuki.

“Kenapa Muhyiddin didakwa?”@politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share