Speaker Yang Teruk Tidak Dihormati Kawan Dan Lawan, Kata Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 17 Jul 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Speaker Dewan Rakyat yang teruk bukan sahaja tidak dihormati lawan malah kawan sendiri juga merasakan dirinya boleh dicucuk hidung.

Katanya, itu adalah kelompok speaker yang paling teruk, daripada tiga jenis speaker bermula dengan yang baik dan diikuti speaker yang buruk.

“Dari pemerhatian saya, speaker boleh ada tiga jenis…pertama, speaker yang baik. Mereka ini menjaga kemuliaan institusi speaker, tidak memihak kepada mana-mana parti, dan dihormati oleh kawan dan lawan.

“Kedua, speaker yang buruk. Mereka ini tidak sedar bahawa kerusi speaker itu adalah kerusi mulia yang non-partisan, dan tidak pandai menjaga keadilan dalam mengendalikan sidang.

“Ketiga, Speaker yang teruk. Mereka ini dilantik atas sebab kronisme, dan mengurus sidang atas dasar nepotisme,” katanya, dalam hantaran media sosial.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, speaker dalam kumpulan itu tidak dihormati lawan kerana sifat tidak adil yang terlalu jelas, manakala kawan juga tidak hormat kerana kawan-kawan pun tahu bahawa speaker seperti itu hanya boneka yang dicucuk hidung.

“Paling teruk, mereka terlalu banyak berlakon macam bagus sehingga mereka ‘terpercaya’ dengan lakonan diri sendiri dan mereka tak sedar bila mereka bercakap sebenarnya orang bukan hormat pun.

“Speaker jenis ketiga ini gagal menunaikan tanggungjawab kepada negara dan setiap kali bercakap hanya merosakkan imej Parlimen,” katanya.

Malah, kumpulan speaker itu katanya suka mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan mereka masih partisan, walaupun sebagai speaker sepatutnya mereka bersikap neutral dan tidak berparti.

“Dan speaker jenis ketiga ini tak sedar yang sebahagian orang merasakan bahawa tak ada guna bercakap atau memberi pandangan kalau perangai speaker macam ini.”

Kenyataan Wan Saiful itu susulan kenyataan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang menegur ahli Parlimen yang menurutnya lantang bersuara di luar mengenai pelbagai isu tetapi gagal hadir ke Parlimen untuk membangkitkan isu tersebut.

Ahli Parlimen seperti itu katanya gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat, malah kenyataan yang dikeluarkan turut mengelirukan rakyat.

Johari turut mengkelaskan tiga jenis Ahli Parlimen di Dewan Rakyat iaitu yang baik, yang buruk dan yang teruk. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share