
PUTRAJAYA, 8 DIS 25 — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, kononnya agensi itu digunakan untuk menyiasat calon dalam pemilihan PKR pada Mei 2025.
Dalam satu kenyataan, SPRM menyifatkan tuduhan bekas timbalan presiden PKR itu sebagai “tidak berasas dan tidak benar.”
“SPRM menegaskan siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima. Setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur ditetapkan,” kata suruhanjaya itu.
Rafizi dalam audio siar terbaharu mendakwa beberapa ahli PKR menjadi sasaran siasatan kerana tidak disenangi sesetengah pemimpin, termasuk calon yang menentang Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden.
Beliau turut merujuk insiden seorang calon “pro-Rafizi” yang didakwa disiasat SPRM berhubung pembelian tunai sebuah rumah lelong.
Namun, SPRM menafikan dakwaan bahawa rumah individu itu “dikepung” ketika siasatan.
“Ia kaedah siasatan biasa, termasuk elemen kejutan bagi mengelakkan pelupusan bukti. Selepas disahkan individu tiada di rumah, pegawai beredar seperti biasa,” kata kenyataan itu.
Menurut SPRM, individu berkenaan hadir sendiri ke pejabat SPRM keesokan hari, kenyataannya direkodkan dan dibebaskan tanpa penahanan.
SPRM turut mengingatkan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan melalui saluran sah seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM bagi memastikan dakwaan salah laku disiasat secara telus, dan bukannya disebarkan sebagai tohmahan di media sosial. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.