“Tangkap penjenayah, bukan pengkritik” – MP Mahu RUU Jenayah Siber Diperjelas

KUALA LUMPUR | 1 Julai 26 – Ahli Parlimen Alor Setar, YB Tuan Afnan Hamimi bin Dato’ Haji Taib Azamudden, menggesa kerajaan memperjelaskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber dengan memasukkan satu prinsip yang jelas bahawa akta itu hanya digunakan untuk membanteras jenayah siber, bukannya terhadap individu yang menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab.

Ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, beliau berkata penegasan itu penting bagi mengelakkan salah tafsir sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli akademik, pengamal media dan rakyat yang mengemukakan pandangan berdasarkan fakta.

“Saya tidak menyatakan undang-undang ini bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara.

“Tetapi saya cadangkan supaya dimasukkan satu prinsip yang jelas di bawah akta ini bahawa ia hanya digunakan untuk membanteras jenayah siber.

“Kalau seorang pensyarah membuat kajian tentang kelemahan keselamatan sistem digital negara, ataupun seorang wartawan menulis laporan mengenai kelemahan keselamatan sesebuah agensi, ataupun seorang rakyat membuat kritikan terhadap sistem kerajaan berdasarkan fakta, mereka tidak sepatutnya berasa takut bahawa tindakan mereka itu boleh dianggap sebagai jenayah.

Afnan Hamimi berkata, undang-undang itu perlu memberi keyakinan bahawa penyelidikan akademik, laporan media dan kritikan yang dibuat secara bertanggungjawab demi kepentingan awam tidak akan disalah tafsir sebagai satu kesalahan jenayah.

“Yang hendak ditangkap ialah penjenayah, bukan orang yang memberi pandangan secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menegaskan, RUU Jenayah Siber seharusnya kekal tertumpu kepada usaha membanteras jenayah siber tanpa menjejaskan ruang kebebasan untuk menyuarakan pandangan, menjalankan penyelidikan dan melaporkan kelemahan sistem demi penambahbaikan dasar serta tadbir urus negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share