
TAMBUN | 22 Feb 26 — Majoriti Ahli Jawatankuasa Srikandi Muda Bahagian Bersatu Tambun mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat kuasa serta-merta, sekali gus menyaksikan jawatankuasa sayap itu terbubar mengikut peraturan sedia ada.
Dalam satu kenyataan media semalam, kumpulan berkenaan memaklumkan keputusan itu dicapai secara kolektif selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk hala tuju kepimpinan, prinsip perjuangan dan keperluan menjaga maruah serta integriti organisasi di peringkat akar umbi.
Menurut kenyataan tersebut, berdasarkan Peraturan Srikandi Muda Perkara 11 Fasal 11.11, jawatankuasa dianggap bubar sekiranya dua pertiga atau lebih daripada ahli jawatankuasa berhenti. Mereka memaklumkan persetujuan dicapai dengan sokongan majoriti keseluruhan ahli jawatankuasa.
“Kami menegaskan bahawa keputusan ini bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya melalui perbincangan yang matang dan penuh tanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Tambah mereka, langkah berkenaan diambil demi prinsip serta keyakinan terhadap masa depan perjuangan yang disifatkan perlu lebih jelas dan berintegriti.
Sehubungan itu, mereka secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran keahlian parti berkuat kuasa serta-merta, selain menjelaskan bahawa segala urusan selepas ini tidak lagi berada di bawah tanggungjawab mereka sebagai Ahli Jawatankuasa Srikandi Muda Bahagian Bersatu Tambun. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.