Strategic Paralysis: Lumpuhkan Lawan Lebih Penting daripada Menewaskannya

Dalam peperangan moden, kemenangan tidak semestinya dicapai dengan memusnahkan musuh. Ahli strategi ketenteraan sejak sekian lama memahami bahawa kadangkala lebih berkesan jika musuh dibiarkan terus wujud ttetapi kehilangan keupayaan untuk bertindak secara tersusun. Tentera yang masih memiliki senjata tetapi gagal menyusun strategi bukan lagi ancaman yang efektif.

Logik yang sama semakin kelihatan dalam politik era media sosial. Persaingan politik hari ini bukan sekadar tentang bagaimana menjatuhkan kerajaan melalui peti undi. Ia semakin menjadi pertandingan untuk melumpuhkan keupayaan pihak bersaing untuk memimpin naratif, menentukan agenda dan menguasai perhatian masyarakat.

Keadaan inilah yang boleh dihuraikan sebagai Strategic Paralysis. Ia merujuk kepada situasi apabila seseorang aktor politik kehilangan keupayaan bertindak secara strategik kerana hampir seluruh tenaga, masa dan sumber komunikasinya dihabiskan untuk menjawab, menafikan, menjelaskan atau mempertahankan diri daripada naratif yang telah dibentuk oleh pihak lain.

Dalam keadaan sedemikian, persoalan utama bukan lagi sama ada setiap tuduhan benar atau salah. Persoalan yang lebih penting ialah siapakah yang menentukan rentak perbincangan awam. Selagi seseorang aktor politik sentiasa dipaksa bertindak balas, selagi itulah pihak lain menikmati kelebihan strategik.

Inilah perbezaan utama antara Strategic Paralysis dengan propaganda politik tradisional. Propaganda bertujuan mempengaruhi pendapat masyarakat terhadap sesuatu isu. Strategic Paralysis pula bertujuan menghasilkan kesan yang lebih mendalam iaitu melumpuhkan keupayaan lawan untuk memimpin naratif. Lawan tidak perlu dikalahkan dalam setiap perdebatan.

Cukuplah jika mereka kehilangan ruang untuk memperkenalkan agenda sendiri. Apabila semua tenaga tertumpu kepada menjawab isu demi isu, politik berubah daripada seni memimpin kepada seni bertahan.

Media sosial menjadikan strategi ini jauh lebih berkesan berbanding era media konvensional. Algoritma platform digital lazimnya mengangkat kandungan yang mencetuskan emosi seperti kemarahan, ancaman, kehilangan, kebimbangan dan konflik. Penjelasan dasar yang panjang jarang memperoleh capaian yang sama seperti kontroversi yang ringkas tetapi mudah dikongsi.

Dalam ekosistem seperti ini, perhatian menjadi mata wang politik yang paling bernilai. Pihak yang berjaya menentukan apa yang dibincangkan oleh masyarakat sering memperoleh kelebihan, walaupun mereka tidak semestinya memenangi setiap hujah.

Daripada sudut komunikasi politik, proses ini boleh difahami sebagai satu rantaian yang saling mengukuhkan. Sesuatu isu dipilih untuk diberikan perhatian, kemudian dibingkaikan dalam kerangka tertentu sebelum diperluaskan melalui algoritma media sosial.

Apabila isu yang sama atau isu yang seumpamanya muncul secara berterusan, aktor yang menjadi sasaran akan semakin banyak menghabiskan masa untuk memberi penjelasan. Sedikit demi sedikit, keupayaan mereka untuk menentukan agenda sendiri semakin terhakis. Pada tahap inilah Strategic Paralysis mula berfungsi sebagai satu bentuk kuasa politik.

Pemerhatian terhadap beberapa pilihan raya negeri mutakhir seperti Sabah, Johor dan terkini Negeri Sembilan akan datang di Melaka menunjukkan bahawa ruang digital menjadi medan persaingan yang semakin sengit.

Tanpa mengandaikan wujudnya satu strategi yang diselaraskan atau niat yang seragam dalam kalangan semua aktor politik, dapat diperhatikan bahawa perdebatan awam sering beralih daripada penjelasan dasar kepada respons terhadap isu yang muncul silih berganti.

Kempen PRN Sabah dengan kempen `Sabah for Sabahan’ dan PRN Johor dengan ‘Asal bukan DAP’ mematikan dan melumpuhkan pihak PH misalnya dalam menjawab di media sosial walaupun mereka mempunyai alasan untuk diperkatakan.

Dalam keadaan sedemikian, kerajaan PH lebih banyak berada dalam kedudukan menjawab dan mempertahankan diri manakala pihak lawan berusaha menetapkan isu yang terus mendominasi perbincangan. ancaman kepada kuasa politik Melayu. Pola komunikasi seperti ini wajar dikaji kerana ia memperlihatkan bagaimana kuasa politik pada era digital semakin berkait dengan keupayaan menguasai naratif.

Keadaan ini juga menjelaskan mengapa sesebuah kerajaan kadangkala dilihat seolah-olah sentiasa berada dalam krisis walaupun jentera pentadbirannya terus berfungsi. Persepsi tersebut tidak semestinya berpunca daripada kegagalan pentadbiran semata-mata.

Ia juga boleh lahir apabila ruang komunikasi awam dipenuhi dengan isu yang memerlukan tindak balas segera sehingga pencapaian atau dasar baharu tenggelam daripada perhatian. Apabila kitaran ini berulang, masyarakat mula menilai kerajaan bukan berdasarkan keseluruhan prestasi, tetapi berdasarkan isu yang paling kerap muncul dalam ruang digital.

Dalam konteks ini, Strategic Paralysis melengkapkan teori-teori komunikasi politik yang sedia ada. Jika teori penetapan agenda (agenda setting) menerangkan bagaimana sesuatu isu dipilih untuk menjadi perhatian awam, dan teori pembingkaian (framing) menerangkan bagaimana isu itu ditafsir, pendekatan Strategic Paralysis menerangkan kesan strategik daripada kedua-dua proses tersebut.

Ia menghuraikan bagaimana penguasaan agenda dan pembingkaian yang berterusan boleh menyebabkan pihak lawan kehilangan keupayaan untuk mengambil semula inisiatif politik.

Hakikatnya, cabaran terbesar mana-mana kerajaan pada masa hadapan bukan sekadar melaksanakan dasar yang berkesan. Cabaran yang lebih besar ialah memastikan kerajaan terus memiliki keupayaan menentukan apakah yang harus dibincangkan oleh masyarakat.

Sebaik sahaja agenda awam ditentukan sepenuhnya oleh pihak lain, kerajaan mula kehilangan inisiatif walaupun masih memiliki kuasa pentadbiran. Dalam era digital, kelebihan politik tidak hanya bergantung pada jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi juga pada keupayaan mengawal rentak perbincangan awam.

Politik moden akhirnya memperlihatkan bahawa kemenangan tidak semestinya bermula di peti undi. Ia bermula pada saat seseorang aktor politik berjaya memaksa lawannya hidup dalam keadaan reaktif yang berpanjangan. Pada ketika itu, lawan mungkin masih memerintah, masih mempunyai jentera dan masih memiliki sokongan institusi. Namun mereka tidak lagi menentukan arah perbincangan.

Mereka hanya menjawab apa yang ditentukan oleh pihak lain. Di situlah Strategic Paralysis mencapai matlamatnya—bukan dengan menjatuhkan lawan secara langsung bahkan dengan melumpuhkan keupayaannya untuk memimpin naratif dan membentuk imaginasi politik masyarakat.

Oleh Ismail Hashim Yahaya ; Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas isu semasa daripada perpspektif semiotik dan naratif

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Sandiwara Politik

Keadaan ini seolah-olah menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri, kerana usaha menunjukkan kekuatan akhirnya mendedahkan kelemahan dalaman.
Read More
Total
0
Share