
KUALA LUMPUR, 14 MEI 25 – Pihak yang bersumpah harus melaksanakan sumpah yang dilafazkannya kerana ia boleh dianggap sebagai suatu yang benar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri berkata, melanggar sumpah yang dilafazkan juga boleh dikenakan hukuman.
“Sesungguhnya masyarakat terima sumpah sebagai kebenaran perkara yang telah dilakukan atau akan dilakukan. Sumpah terhadap sesuatu boleh diterima sebagai benar.
“Sebab itu pihak yang melafazkan sumpah mesti tunaikan sumpahan yang telah dilafazkan. Jika tidak ditunai maka pihak yang bersumpah akan dihukum dengan hukuman tertentu,” katanya, dalam satu kenyataan.
Dr Mahathir berkata, bersumpah juga tidak boleh dipandang ringan, sehingga ajaran Islam melarang bersumpah sekiranya tiada niat melakukan sumpah tersebut.
“Bersumpah tidak boleh dipandang ringan. Tindakan undang-undang boleh diambil bagi sesiapa yang tidak endah sumpah. Bagi orang Islam jika sumpah tidak dijunjung, ia menjadi dosa besar.
“Islam memandang begitu serius sumpah sehingga melarang bersumpah melainkan dengan niat yang benar untuk menunaikan janji yang dibuat.
“Dalam mahkamah tiap saksi dikehendaki bersumpah. Jika kemudian kenyataan yang dibuat olehnya tidak seperti sumpah yang dilafaz ia akan dihukum salah oleh hakim,” tegas Dr Mahathir lagi.