
KUALA LUMPUR, 1 Jun 25 – Gedung mengandungi arak bermutu tinggi ditemui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika serbuan di kediaman mewah milik seorang Tan Sri ternama.
Koleksi arak yang ditemui dalam kondominium mewah itu dikatakan setiap satunya berjenama mewah serta bernilai tinggi.
Minuman keras itu juga disimpan di dalam sebuah ‘penyejuk’ khas yang dibina di tingkat bawah rumah berkenaan, selain turut dilengkapi sebuah bar alkohol tersendiri untuk menghidangkan minuman keras tersebut.
Kediaman itu merupakan antara enam rumah mewah yang diserbu SPRM baru-baru membabitkan siasatan kes tuntutan palsu dan salah guna bon pinjaman bagi pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.
Memetik laporan Berita Harian, sumber dilapor berkata, kediaman itu merupakan salah satu daripada enam unit kediaman mewah serta sebidang tanah lot dianggarkan bernilai kira-kira RM12 juta dipercayai milik Tan Sri tersebut.
“Menerusi penggeledahan ini, Bahagian Siasatan SPRM menyita enam kediaman mewah serta sebidang tanah lot yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM12 juta dan turut menemui kuda bernilai ratusan ribu ringgit yang disyaki dibeli menggunakan wang sukuk,” katanya.
Sebelum ini SPRM turut menyita pelbagai aset termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai dan kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta milik individu terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram. @sumber