Tangguh Dahulu Semua Dasar Susahkan Rakyat, Kata Radzi

KUALA LUMPUR, 15 Jun 25 – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan membatalkan pelaksanaan program dan dasar memperbaiki kedudukan fiskal negara yang menyusahkan rakyat.

Antara gesaan Ketua Penerangan PN Datuk Radzi Jidin adalah membatalkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan kenaikan tarif asas elektrik serta menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95.

Katanya, ketiga-tiga dasar itu akan memberi tekanan besar kepada rakyat dan komuniti peniaga yang masih bergelut dengan kesan kenaikan kos sara hidup sejak tahun lalu.

“Pelaksanaan tiga dasar utama kerajaan bagi tahun 2025 bermula dengan perluasan skop SST. Di dalam ucapan Belanjawan 2025, kerajaan menyatakan  perluasan skop SST akan bermula pada 1 Mei 2025 melibatkan antara lain ‘barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avokado’.

“Namun, pada 29 Apr 2025 Kerajaan mengumumkan perluasan skop SST ditangguhkan kerana Kementerian Kewangan masih memperincikannya. Ini memberi gambaran bahawa kerajaan masih belum bersedia dan tidak mempunyai kerangka percukaian yang jelas ketika perkara ini diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2025,” katanya, dalam satu kenyataan.

Radzi mendakwa, senarai barangan yang dikenakan cukai sebaliknya meningkat daripada 62 muka surat kepada 222, manakala barangan yang dikecualikan cukai menyusut daripada 282 kepada hanya 103 muka surat.

“Gambaran kerajaan perluasan skop SST difokuskan kepada barangan premium dan tidak membebankan rakyat terbanyak adalah mengelirukan dan tidak bertanggungjawab.

“PN mendesak agar kerajaan membatalkan perluasan skop SST sehingga mereka benar-benar mempunyai kerangka cukai yang holistik dan jelas agar tidak membebankan rakyat terbanyak,” tegasnya.

Beliau turut membantah pelaksanaan cukai ke atas perkhidmatan seperti sewaan, pembinaan, kewangan dan pendidikan, yang menurutnya dilakukan tanpa libat urus menyeluruh dengan pihak industri.

Radzi turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tetap mahu menaikkan tarif asas bermula 1 Jul depan.

“Kenaikan kos tenaga elektrik pasti akan memberi kesan besar kepada komuniti peniaga secara keseluruhannya kerana kos pengeluaran barang dan perkhidmatan mereka akan meningkat.

“PN sebelum ini telah menggesa kerajaan agar tidak meneruskan hasrat menaikkan tarif asas elektrik ini, mengambil kira kesan besar kenaikan kos tenaga kepada komuniti peniaga dan rakyat terbanyak, khususnya dalam keadaan cabaran ekonomi global yang masih tidak menentu,” katanya.

Selain itu, kerajaan katanya masih gagal menjelaskan takrifan kumpulan T15 yang perlu membayar harga petrol RON95 lebih tinggi apabila subsidi bersasar dilaksanakan.

“Sepertimana kenaikan kos tenaga yang lain, kenaikan harga petrol akan memberi kesan langsung serta tidak langsung kepada rantaian bekalan, khususnya dalam konteks kenaikan kos pengeluaran.

“Akhirnya, kenaikan ini akan menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, termasuk mereka yang tidak berada dalam kumpulan T15,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan amat penting satu sistem jaringan keselamatan sosial yang holistik, sistematik dan teratur dibentuk sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.

“PN menggesa agar kerajaan menangguhkan dahulu pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share