Gas LPG : Kabinet Setuju Pinda Peraturan

KUALA LUMPUR, 6 Jun 25 – Kabinet bersetuju meminda peraturan kawalan bekalan termasuk berkait penggunaan subsidi silinder gas petroleum cecair (LPG) yang digunakan peniaga berskala kecil dan mikro, dan tiada tindakan undang-undang dikenakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Jemaah Menteri bersetuju meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang diluluskan pentadbiran lalu dan berkuat kuasa 15 Okt 2021.

Menurutnya, turut dipersetujui syor semakan dan pindaan diselaraskan jawatankuasa teknikal dipengerusikan ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga membabitkan agensi lain serta pandangan pemegang taruh.

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga memperakukan sepanjang tempoh Ops Gasak dan sehingga pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 dimuktamadkan, tiada tindakan undang-undang terhadap perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil berkaitan penggunaan silinder LPG bersubsidi bagi keperluan premis perniagaan sendiri.

“Peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman dibenarkan mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa keperluan permit barang kawalan berjadual,” katanya, semalam.

KPDN melancarkan Ops Gasak bermula 1 Mei hingga 31 Okt untuk mengekang ketirisan subsidi LPG khususnya oleh pengguna industri dan perniagaan berskala besar.

Perniagaan termasuk restoran dan kafe mesti menggunakan silinder LPG 14kg gred komersial berharga RM70, bukan silinder bersubsidi untuk isi rumah berharga RM26.

Mereka yang menggunakan atau menyimpan lebih 42kg atau tiga silinder juga mesti mendapatkan permit barang kawalan berjadual.

Armizan turut menafikan dakwaan subsidi LPG telah dipotong, selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong mendakwa langkah itu akan membebankan perniagaan kecil dalam sektor makanan dan minuman. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

NGO Nasihat Muhyiddin Berehat, Tumpu Kes Mahkamah

Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, pertubuhan itu berpandangan, wajar untuk Muhyiddin mencontohi Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berehat daripada jawatan Presiden Muda bagi menghadapi pertuduhan terhadapnya di mahkamah.
Read More
Total
0
Share