
KUALA LUMPUR, 20 MEI 25 – Pemimpin Bersatu dilihat bertelagah atas dakwaan sesetengah pemimpin tidak diundang menghadiri program jelajah parti yang diketuai Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz hari ini membidas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana mempersoalkan perkara itu secara terbuka di media sosialnya.
Soalan sedemikian kata Tun Faisal seharusnya diajukan dalam kumpulan sembang WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
“Soalan-soalan seperti ini, dia hanya perlu tanya dalam group WhatsApp MPT,” katanya, memetik laporan Malaysiakini.
Itu adalah respons Tun Faisal kepada Wan Ahmad Fayhsal yang mempersoalkan program jelajah Bersatu ke negeri-negeri yang tidak menjemput timbalan presiden dan naib presiden parti berkenaan.
Malah bekas Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, MPT juga tidak dimaklumkan mengenai program tersebut.
Program Kembara Bersatu menjelajah ke Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka, diketuai Azmin, dengan beberapa hantaran di Facebook miliknya menunjukkan video dan gambar program itu yang berlangsung.
Antara pimpinan Bersatu yang dilihat turut hadir antaranya termasuklah Tun Faisal, dua naib presidennya Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, serta Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersama beberapa barisan MPT Bersatu.
Wan Ahmad Fayhsal membangkitkan persoalan itu media sosial miliknya, sambil menyifatkan ianya perkara yang luar biasa.
Dakwanya, tiada jemputan dibuat kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dan naib-naib presiden parti itu serta MPT.
“Kenapa jelajah Bersatu turun ke negeri-negeri timbalan, naib presiden (2) tak dijemput? MPT pun tak dimaklumkan. Luar biasa…,” katanya. @politiko.my