Tarik Sokongan, Buktikan 9 MP PKR Berprinsip, Kata Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Jul 25 – Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kumpulan sembilan ahli Parlimen PKR yang bersama bekas timbalan presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli akan dilihat berprinsip sekiranya menarik sokongan daripada menyokong kerajaan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, desakan mereka untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga tidak membawa sebarang makna tanpa desakan lebih keras.

“Sebagai figura yang ingin menonjolkan imej berprinsip, adalah janggal apabila Rafizi terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga presiden partinya atas beberapa kelemahan tadbir urus, namun pada masa sama masih mengekalkan sokongan.

“Sikap ini menampakkan beliau sekadar ‘membuat bising’ untuk meraih perhatian tanpa keberanian mengambil tindakan konkrit,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Tuan Ibrahim, walaupun pembangkang menyokong penubuhan RCI, pengalaman menunjukkan hasil RCI tidak dipandang berat oleh kerajaan.

“Saya dan rakan-rakan menyokong penubuhan RCI, namun pengalaman lepas menimbulkan keraguan tentang sejauh mana hasil siasatan akan diterima serta dilaksanakan oleh kerajaan; prosesnya juga dijangka mengambil masa.

“Oleh itu kami menyeru semua pihak yang membuat pelbagai bantahan, kritikan terhadap kegagalan perdana menteri dapat bersama dalam himpunan pada 26 Julai nanti.

“Segala kemelut negara akan lebih mudah diselesaikan dan memberi makna jika semua pihak bersatu dalam satu saf,” katanya.

Katanya, desakan tidak membawa sebarang makna sekiranya Rafizi tidak konsisten untuk terus mendesak dan berani meneruskannya dengan menuntut agar Anwar, direhatkan sementara menunggu kes saman Yusoff Rawther terhadapnya diselesaikan.

“Malah, Rafizi serta sembilan Ahli Parlimen PKR hanya akan dilihat berprinsip jika mereka sanggup menarik balik sokongan terhadap Anwar.” @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share