Teka-teki Pengganti Muhyiddin

Memasuki tahun 2026, akan menyaksikan beberapa peristiwa penting dalam politik tanah air. Antara perkembangan awal yang dijangka berlaku ialah pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu.

Teka-teki ini hanya akan terjawab dalam mesyuarat majlis tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dijangka berlaku bulan ini.

Banyak pandangan dan cadangan dilaporkan di media massa. Antara nama popular yang disebut ialah Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi. Namun Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari awal-awal memberi gambaran, Pengerusi baharu tidak semestinya presiden PAS. Ini bermakna, ada nama-nama lain yang akan dipertimbangkan.

Ada pihak berpendapat, tokoh yang akan dinamakan sebagai pengerusi PN, tidak semestinya akan menjadi ‘poster boy’ PN, kerana hakikat yang perlu disedari adalah objektif utama ketika ini ialah untuk mengangkat kapasiti PN agar bangkit dari kelesuan selepas episod-episod duka tahun-tahun sebelumnya.

Jika dinilai dari segi populariti, ada yang menyebut nama MB Kedah, Sanusi Md Noor. Dia buakn sahaja masih muda, tetapi sangat popular dikalangan rakyat. Begitu juga dengan MB Terengganu, nama beliau turut dipetik oleh sesetengah pemerhati berdasarkan latarbelakang beliau, seorang profesional dan berintegriti.

Namun, ada beberapa pihak yang masih ragu apabila dua nama ini digandingkan dengan lawan politik seperti Anwar Ibrahim, yang petah berpidato dan licik berpolitik.

Selain daripada itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man juga ada dicadangkan kerana ketokohannya dalam memaparkan imej sederhana PAS.

Tidak dinafikan, nama-nama yang dipetik ini memiliki ketokohan yang tersendiri. Mereka juga mempunyai pengikut tegar yang ramai, malah selain Haji Hadi, nama-nama ini dilihat sebagai generasi baru dalam PAS.

Ini dalam konteks PAS dan politik Melayu Islam. Namun dalam konteks politik Malaysia yang lebih luas, beberapa aspek perlu dinilai dengan lebih rinci, kerana PN mewakili semua kaum, bukan hanya Melayu.

Maka, ada juga sesetengah pihak mencadangkan nama Tun Mahathir Mohamad, atas hujah, Mahathir merupakan tokoh paling berpengalaman dalam politik Malaysia. Tambahan pula, Mahathir adalah penasihat parti PAS.

Melihat senario politik semasa, PN memerlukan satu tarikan baharu, yang bukan sahaja lebih segar, tetapi tokoh yang mampu melakar dan memandu semula naratif politik yang kian suram dalam blok pembangkang.

Pengerusi PN yang baharu tidak akan mampu memiliki ke semua elemen hebat sebagai seorang tokoh. Dan dalam lanskap politik hari ini, rakyat tidak memerlukan pemimpin ‘Malaikat’ untuk memimpin, sebaliknya Malaysia memerlukan pemimpin yang berani, yang tidak takut pada kebenaran – iaitu berlaku jujur dan amanah.

Azman Abd Rahim – seorang pemerhati politik dari negeri pantai timur.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share