Terengganu Meterai Mou Bersama MRL, Perkukuh Pembangunan Tod ECRL

Foto – facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR, 24 NOV 25 — Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia Rail Link (MRL) bagi melaksanakan pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) secara lebih terancang, moden dan berimpak tinggi di kawasan sekitar stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata MoU tersebut merupakan langkah strategik untuk memastikan pembangunan ECRL benar-benar menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pelaburan swasta serta menyokong perancangan negeri secara menyeluruh.

Menurut beliau, kerjasama itu merangkumi lapan bidang utama, antaranya pertukaran maklumat dan kepakaran, penyelarasan pembangunan bersepadu yang meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, serta pengoptimuman perancangan tanah di kawasan sekitar stesen.

Selain itu, usaha sama ini turut memberi tumpuan kepada menarik pelaburan komersial baharu, menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, merangsang aktiviti ekonomi, memudahkan akses kepada perkhidmatan perniagaan, dan menilai semula dasar sedia ada bagi menyokong pembangunan serta pelaburan negeri.

Ekonomi Terengganu menunjukkan pertumbuhan kukuh pada kadar 4.5% pada tahun 2024, menyumbang 2.4% kepada KDNK Negara. Dengan operasi ECRL yang dijangka membawa limpahan ekonomi besar, kerajaan negeri yakin kadar pengangguran — kini berada pada 2.9% bagi suku ketiga 2025, dapat dikurangkan dengan ketara.

Menteri Besar turut menyatakan keyakinan bahawa kemasukan pelaburan swasta ke Terengganu akan terus meningkat sepanjang tempoh RMK-13, melepasi rekod RM13.7 bilion pelaburan swasta yang dicapai dalam RMK-12.

Beliau merakamkan penghargaan kepada MRL atas komitmen kerjasama strategik tersebut, sambil menyeru semua agensi kerajaan, GLC serta pemain industri untuk bersama-sama menjayakan agenda pembangunan TOD di seluruh negeri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share