
KUALA LUMPUR, 30 APR 25 – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tidak harus memandang ringan isu melibatkan integriti dan imejnya sebagai pimpinan tertinggi di Melaka, berhubung penularan klip audio dikatakan mirip suaranya berkaitan penahanan bekas speaker Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Ketua Pembangkang DUN Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, tuduhan itu perlu dijawab dengan laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Apakah ketua menteri tidak melihat lebih dalam kesan buruk yang akan timbul jika tindakan segera tidak diambil?
“Imej ketua menteri akan terus tercalar jika dibiarkan. Apa lagi bila ketua menteri cukup yakin ada banyak lagi bukti yang akan disebarkan oleh dalang isu ini.
“Busuk nama ketua menteri, busuklah nama Melaka,” kata Yadzil, di media sosial miliknya
Tambahnya, bukan menjadi tugas ketua menteri mengesahkan audio berkenaan adalah manipulasi sebaliknya ia adalah tugas pihak berkuasa.
“Ketua menteri Melaka wajib membuat laporan polis untuk melindungi diri, siasatan forensik harus dilakukan untuk setiap rakaman yang telah tersebar, dengan ini baru dapat dibuktikan kesahihan rakaman suara ini.
“Sekaligus dapat membersihkan nama ketua menteri Melaka jika benar rakaman suara itu adalah manipulasi,” katanya.
Pokok tak akan bergoyang kalau tidak ditiup angin, tambah Yadzil lagi. @politiko.my