
KUALA LUMPUR, 9 DIS 25 — Timbalan Pengarah MINDA-UKM, Dr. Anuar Ahmad, menegaskan bahawa tidak wujud keperluan untuk kerajaan mengiktiraf sijil UEC secara rasmi, memandangkan UEC tidak lahir daripada sistem pendidikan negara dan kurikulumnya juga bukan kurikulum kebangsaan.
Beliau dipetik oleh malaysiagezette sebagai berkata, walaupun UEC telah dibenarkan sejak tahun 1975 ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia merupakan sijil dari sekolah persendirian, bukan sekolah bawah Kementerian Pendidikan.
Anuar mengingatkan bahawa pengiktirafan separa atau bersyarat yang diberikan pada 2012 oleh kerajaan terdahulu ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak hanya untuk tujuan pengambilan guru pelatih ke Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam bidang Bahasa Cina dan bukan sebagai pengiktirafan menyeluruh seperti sijil kebangsaan lain.
Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa menuntut pengiktirafan penuh UEC seperti sijil negara seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan memecahbelahkan sistem pendidikan kebangsaan sedangkan negara telah mengiktiraf sekolah kebangsaan serta sekolah aliran kebangsaan vernakular (SJK) dalam satu sistem yang bersepadu.
Dr. Anuar menyeru pemimpin negara dan masyarakat supaya mengekalkan semangat perpaduan dan patriotisme dengan memperkasa sistem pendidikan kebangsaan secara bersama, bukannya menambah lebih banyak aliran dan persijilan yang berasingan. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.