
KUALA LUMPUR, 17 NOV 25 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan rakyat Sabah jauh lebih bijak daripada pemimpin negara, ketika mengulas isu kenyataan “roti Gardenia” yang mencetuskan kecaman sejak beberapa hari lalu.
Hadi menegaskan, rakyat Sabah bukan mudah dipermainkan dan tidak sewajar direndah-rendahkan hanya kerana pilihan makanan mereka.
“Saya rasa orang Sabah lagi cerdik daripada pemimpin negara. Orang Sabah makan roti Gardenia sahaja… (sedangkan) pemimpin negara jual negara berapa billion?” katanya dalam satu rakaman video.
Kontroversi tercetus apabila Exco Kedah, Mansor Zakaria, secara berseloroh mendakwa undi Sabah boleh diperoleh hanya dengan memberi roti Gardenia ketika berbahas dalam sidang DUN Kedah.
Kenyataan itu mengundang kemarahan rakyat Sabah serta pelbagai pihak politik, sebelum Mansor tampil memohon maaf dan menarik balik kata-katanya.
Hadi bagaimanapun menegaskan, isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah pemimpin yang didakwa “menjual negara” dan menjadikan Malaysia terbeban dengan hutang besar.
“Besarkan hal roti Gardenia ni, lupa tentang negara kita digadai… Ini kita kena sedar,” katanya.
Isu tersebut turut menjadi perhatian susulan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 Nov ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.