Tiga Kali Sambung Jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Ikrar Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR, 13 MEI 25 – Tiga kali berturut-turut dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berikrar untuk terus membanteras rasuah di negara ini.

Pelantikan semula beliau bagi tempoh setahun, bermula 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Azam menyifatkan perkenan tersebut sebagai penghormatan besar kepada dirinya dan seluruh warga SPRM.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan.

“Dengan penuh kesedaran terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya akan terus memimpin usaha SPRM membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil dan sejahtera,” kata Azam dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula ke jawatan tersebut, masing-masing bagi tempoh setahun, iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Beliau mula menjawat jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020, menggantikan Latheefa Koya.

Azam turut menegaskan komitmen SPRM untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara, bagi memastikan Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share