
KUALA LUMPUR, 25 Jul 25 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah menggesa kerajaan membentangkan laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) berkaitan cadangan dan syor-syor bagi penambahbaik pelaksanaan pilihanraya untuk diteliti oleh dewan.
Dalam ucapannya di dewan rakyat, semalam, Saifuddin berkata, ERC yang ditubuhkan sejak 2018, telah diberi peranan untuk mengkaji sistem dan undang-undang pilihan raya sedia ada, dan laporan tersebut telah pun diserahkan kepada kerajaan.
“Saya difahamkan Jawatankuasa tersebut telah menyampaikan laporannya kepada kerajaan sebaik saja tempoh masanya selesai.
“Kini, persoalannya ialah, apakah status Laporan Jawatankuasa tersebut? Berapa banyak syor telah dikemukakan dan apakah tindakan kerajaan keatasnya? Soal beliau.
Menurut Saifuddin lagi, ERC telah diberi masa dua tahun untuk mengkaji sistem dan undang-undang sedia ada bagi tujuan menambahbaik proses perlaksanaan pilihanraya di negara ini supaya sistem demokrasi negara ini lebih matang.
“(ERC) membandingkannya dengan amalan-amalan demokrasi maju, mendapatkan input pakar-pakar, mengadakan libat urus dan penyelidikan; dan selanjutnya mencadangkan pindaan undang-undang dan peraturan-peraturan sedia ada, penggubalan undang-undang dan peraturan-peraturan baru, dan memperakukan syor-syor menambahbaik pelaksanaan dan perjalanan pilihan raya supaya demokrasi kita lebih matang.
Tambah Saifuddin, 27 Julai ini ialah tarikh ulangtahun ke-70 pilihan raya kita yang pertama. Ia menjadi sejarah negara apabila pilihan raya pertama Malaysia telah memilih 52 anggota Majlis Perundangan Persekutuan dan membentuk kerajaan persekutuan yang pertama dengan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.
“Kebetulannya, pada hari ini, kita membahaskan Laporan SUHAKAM 2023 di Dewan yang mulia ini. Antara hak asasi terpenting ialah hak sivil dan politik. Ini termasuklah hak mendapatkan pilihan raya yang lebih baik.
“Pilihan raya adalah proses terpenting dalam menegakkan demokrasi yang memberi manfaat kepada rakyat. Demokrasi sedemikian hendaklah memenuhi lima prinsip utama pilihan raya, iaitu bebas, telus, berintegriti, cekap dan adil. Katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.