Timbalan KB Kota Tinggi Keluar BERSATU, Bimbang Lebih Ramai Ahli Turut Serta

KOTA TINGGI | 14 Julai 26 — Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kota Tinggi, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas mengumumkan peletakan semua jawatan serta keluar daripada Bersatu selepas mendakwa krisis kepimpinan yang berpanjangan semakin menjejaskan keyakinan ahli akar umbi terhadap parti itu.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat bukan kerana terlalu setia kepada mana-mana pemimpin tertentu, sebaliknya berdasarkan perkembangan semasa yang disifatkannya semakin membimbangkan.

“Saya bukan seorang yang terlalu taksub kepada mana-mana pemimpin. Saya membuat keputusan berdasarkan keadaan semasa. Krisis kepimpinan tidak juga selesai walaupun pengundi sudah menghantar mesej yang jelas menerusi pilihan raya,” katanya.

Menurut Hasnolhadi, konflik yang berlarutan dalam kalangan kepimpinan tertinggi menyebabkan pemimpin di peringkat bahagian berdepan kesukaran menjawab pelbagai persoalan daripada ahli dan penyokong parti.

Beliau mendakwa keadaan itu semakin ketara ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila jentera Perikatan Nasional (PN) menggunakan lambang yang sama, namun tidak lagi bergerak dengan semangat dan kesepaduan seperti sebelum ini.

“Kita masuk pilihan raya dengan satu panji, tetapi bukan satu hati. Yang sama hanya watikah, tetapi semangat perjuangan itu sudah tiada lagi,” katanya.

Hasnolhadi turut berpandangan keputusan pilihan raya kebelakangan ini menunjukkan pengundi telah memberikan isyarat jelas kepada Bersatu, namun beliau mendakwa kepimpinan parti masih gagal menyelesaikan konflik dalaman.

“Saya sudah berpolitik sejak berusia 18 tahun. Hari ini saya keluar bukan kerana mahu menyertai parti lain. Saya cuma merasakan inilah keputusan terbaik berdasarkan keadaan semasa,” katanya.

Pada masa sama, Hasnolhadi berharap kepimpinan Bersatu mengambil serius kemelut yang sedang dihadapi parti itu sebelum lebih ramai ahli dan pemimpin akar umbi bertindak meninggalkan parti.

“Saya bimbang kalau keadaan ini berterusan, akan ada lagi yang keluar. Membina kekuatan di peringkat akar umbi bukan sesuatu yang mudah dan ia tidak sepatutnya dipersiakan,” katanya.

Berita mengenai tindakan keluar parti ini berterusan sejak minggu lalu. Ramai pemerhati berpendapat, BERSATU kini telah masuk kepada krisis integriti yang serius sejak penubuhannya 10 tahun lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share