Tingkatkan Penguatkuasaan Aktiviti Ceroboh Tanah, titah Sultan Pahang

KUALA LUMPUR, 9 MEI – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar tindakan penguatkuasaan diketatkan bagi menoktahkan aktiviti pencerobohan tanah kerajaan secara haram di negeri itu.

Baginda bertitah, tindakan penguatkuasaan perlu diteruskan dan ditingkatkan dengan cara yang berhemah dan berdisiplin.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan 10,521 hektar (26,000 ekar) tanah di Raub telah diceroboh…saya nak kerajaan negeri berkeras dalam hal ini, harus dapatkan penyelesaian terbaik dan secepat mungkin, kita tak boleh biarkan kegiatan ini bukan sahaja di Raub bahkan di seluruh Pahang.

“Tindakan seterusnya semua pihak harus bekerjasama, kita tak boleh biarkan aktiviti haram ini diteruskan.

“Mana-mana pihak nak buat permohonan (pemilikan tanah) silalah buat secara rasmi mengikut proses ditetapkan,” titah baginda, ketika meninjau lokasi tanah yang diceroboh dengan tanaman durian di Batu 3 Sungai Ruan-Sungai Klau.

Baginda bertitah tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan merupakan hala tuju kerajaan dalam mengurus tadbir hal tanah di negeri ini dengan lebih baik dan teratur.

“Kita berusaha untuk menoktahkan isu ini secara berperingkat, tak boleh sekali gus agak susah, sekurang-kurangnya kita ada haluan ke arah itu, kalau tidak isu pencerobohan ini akan berterusan dan tindakan sewajarnya akan diambil serta hukuman lebih berat akan dikenakan,” titah baginda.

Baginda turut meluahkan rasa kesal dengan kawasan Cameron Highlands yang diterokai antaranya di Lembah Bertam yang baginda gambarkan sebagai ‘hutan plastik’.

“Memang saya selalu ke sana dan bila terbang rasa sedih kerana lalu di atas Lembah Bertam, tengok dah macam bukan hutan lagi tetapi hutan plastik…nasi dan jadi bubur, kita akan kaji dan lakukan tindakan susulan,” titah baginda. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share