
PUTRAJAYA | 30 Jan 26 — Ahli BERSATU, Hariz Faisal bin Ismail har ini membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung tindakan mengeluarkan surat kepada Presiden parti-parti komponen Perikatan Nasional tanpa keputusan rasmi parti.
Aduan itu berasaskan dakwaan bahawa surat Presiden BERSATU bertarikh 27 Januari 2026 telah dikeluarkan tanpa sebarang kelulusan atau mandat daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), sekali gus bercanggah dengan Perlembagaan Parti.
Hariz yang juga Mantan Ketua Armada Bahagian Putrajaya berkata, isu sebenar bukan terletak pada penafian yang dibuat oleh PAS melalui surat bertarikh 28 Januari 2026, sebaliknya pada tindakan Presiden sendiri yang didakwa bertindak secara unilateral menggunakan nama dan imej parti.
“Sebagai Presiden, beliau terikat dengan Perlembagaan Parti. Tiada mana-mana individu, termasuk Presiden, boleh berada di atas Perlembagaan,” tegas beliau.
Penafian terbuka oleh PAS terhadap kandungan surat tersebut dilihat telah mencetuskan kekeliruan serius, sekali gus menjejaskan kredibiliti institusi Presiden BERSATU serta reputasi parti dalam kalangan ahli dan rakan gabungan.
“Lebih membimbangkan, aduan itu mendakwa bahawa cadangan dan tindakan yang terkandung dalam surat berkenaan tidak pernah dibincangkan, diminitkan atau diputuskan melalui MPT atau Majlis Presiden, dan bercanggah dengan keputusan-keputusan terdahulu parti. Katanya.
Aduan disiplin tersebut merujuk secara khusus pelanggaran Fasal 22.1(c), 22.1(d) dan 22.1(f) Perlembagaan BERSATU, yang mewajibkan Presiden melaksanakan dasar parti, mematuhi keputusan parti serta memelihara nama baik dan maruah parti.
Sehubungan itu, Lembaga Disiplin BERSATU didesak menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh tanpa pilih kasih, demi mempertahankan prinsip tadbir urus dan kelangsungan parti.
“Ini bukan soal individu. Ini soal prinsip, disiplin dan masa depan parti,” menurut kenyataan itu lagi.
Kritikan terhadap Muhyiddin secara terbuka semakin meningkat berhubung dakwaan beliau bahawa PAS dan BERSATU telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN, yang mana ia dinafikan sekeras-kerasnya oleh pimpinan tertinggi PAS. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.