
Isu pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kini bukan lagi sekadar soal undang-undang, ia telah menjadi ujian paling getir terhadap moral politik dan daya tahan Bersatu sebagai parti pembangkang utama.
Di sinilah pertembungan dua jalur pemikiran politik Melayu moden sedang berlangsung: antara politik prinsip dan politik pertahanan diri.
Budaya ‘tak mahu kalah’ dan mitos mandat
Menurut Prof Madya Dr. Malike Brahim, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), politikus Malaysia masih belum mengenal budaya surrender sementara — iaitu mengundurkan diri buat seketika untuk menjaga imej dan maruah parti.
“Budaya mengundur diri belum wujud di Malaysia. Sebaliknya ia dijadikan medan untuk mengukuhkan kedudukan dan menaikkan populariti,” ujar Dr. Malike.
Beliau menambah, kebanyakan pemimpin lebih gemar berlindung di sebalik sentimen mandat — kononnya masih disokong akar umbi, maka tiada keperluan untuk berundur.
Namun, realitinya, tindakan kekal dalam jawatan ketika diselubungi pertuduhan hanya membebankan parti dan menghakis kredibiliti kepimpinan.
Dr. Malike memberi contoh tindakan Syed Saddiq, bekas Presiden MUDA, yang berundur sementara ketika berdepan kes mahkamah. “Itu tindakan yang tepat. Ia menunjukkan rasa tanggungjawab dan hormat kepada parti serta pengundi,” tegasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa kredibiliti politik tidak hanya bergantung kepada keputusan mahkamah semata-mata, tetapi kepada persepsi awam tentang moral dan integriti kepimpinan.
“Jika kes selesai dan dia bebas, ruang untuk kembali sentiasa terbuka. Tetapi jika terus mempertahankan status quo ketika imej tercalar, maruah parti turut tergadai,” katanya lagi.
Mazlan: Prinsip undang-undang tetap asas, tapi moral tak boleh diketepikan
Sementara itu, Dr. Mazlan Ali, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melihat isu ini dari sudut berbeza. Bagi beliau, selagi seseorang belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah, maka tiada sebab undang-undang untuk menyingkirkan atau memaksa pemimpin itu berundur.
“Seseorang itu tidak bersalah selagi belum disabitkan. Maka beliau masih boleh kekal sebagai presiden atau pengerusi parti,” katanya.
Namun demikian, Dr. Mazlan turut mengakui bahawa dari segi politik praktikal, keputusan untuk bercuti sementara boleh membawa manfaat imej dan kelegaan dalaman parti.
Beliau turut memetik langkah Syed Saddiq sebagai contoh keberanian moral:
“Jika Tan Sri Muhyiddin mengambil langkah sama — berundur sementara sehingga kesnya selesai — beliau akan dilihat sebagai pemimpin berprinsip. Ia akan menambah hormat, bukan melemahkan beliau.”
Krisis kepercayaan dalam Bersatu
Di dalam Bersatu sendiri, tekanan semakin terasa. Walaupun barisan kepimpinan seperti Azmin Ali, Faizal Azumu dan Tun Faisal dilihat masih mempertahankan Muhyiddin, namun suara Ketua-ketua bahagian yang mejadi tonggak ahli, mula mempersoalkan beban persepsi yang ditanggung parti akibat kes ini.
Dikalangan ahli sendiri, terdapat kebimbangan bahawa imej Bersatu sebagai parti anti-rasuah dan “pejuang rakyat bersih” kini terhakis apabila presidennya sendiri berdepan dakwaan.
Ini berlaku dalam suasana pembangkang sedang mencari naratif baharu untuk menghadapi PRU akan datang, isu integriti menjadi liabiliti politik.
Lebih malang lagi, jika kepimpinan gagal mengurus persepsi ini, Bersatu berisiko dianggap tiada beza dengan parti-parti lama yang mereka kritik dahulu.
Politik persepsi dan ‘kelangsungan kuasa’
Dari pandangan dua penganalisis, Dr. Malike dan Dr. Mazlan ini menggambarkan dilema besar politik Malaysia hari ini iaitu antara moral politik dan kelangsungan ego kuasa.
Di antara dua pandangan ini, berdiri realiti paling sukar: politik Malaysia masih diikat oleh budaya “tak mahu kalah” dan mitos kepemimpinan mutlak.
Dalam konteks Muhyiddin, isu ini bukan hanya tentang sabitan atau pembebasan, tetapi bagaimana sejarah akan menilai keberanian beliau membuat pilihan bermaruah. Jika beliau berundur sementara, partinya boleh menang dari segi moral dan politik jangka panjang.
Namun jika beliau memilih untuk kekal dengan alasan “masih disokong orang kanan”, maka Bersatu mungkin terus hanyut dalam politik kesetiaan membuta-tuli, kehilangan daya moral untuk memimpin gelombang rakyat yang dahagakan pembaharuan.
Dan jika langkah itu tidak diambil, maka Bersatu akan terus dibayangi imej parti yang berani menjerit tentang reformasi, tapi takut berdepan realiti. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini