Oleh : Zul Arif

Donald Trump bukanlah tokoh politik yang asing dengan kontroversi. Namun antara perang yang paling besar dan jarang diberi perhatian di Malaysia ialah pertembungan beliau dengan syarikat-syarikat farmaseutikal gergasi, atau apa yang digelar sebagai Big Pharma.
Terbaru, dalam satu kenyataan yang agak keras, beliau mendakwa industri ubat sedang “merompak rakyat Amerika” melalui harga ubat yang melampau tinggi.
Trump melancarkan dasar berani yang dinamakan “Most Favoured Nation (MFN)”, yang jika dilaksanakan, akan memaksa syarikat ubat menurunkan harga di Amerika Syarikat mengikut harga terendah yang dikenakan di negara-negara maju lain.
Walaupun akhirnya dasar ini disekat oleh mahkamah, ia meninggalkan kesan besar dan memberi sedikit panduan penting untuk Malaysia.
Pada dasar MFN bermakna kerajaan Amerika hanya akan membayar harga ubat yang sama rendah seperti yang dibayar oleh negara lain seperti Jerman, UK, Perancis atau Kanada.
Trump berkata rakyat Amerika sudah terlalu lama memberi subsidi keuntungan kepada syarikat ubat global. Di negara lain, kerajaan biasanya berunding terus tentang harga ubat. Tapi di AS, syarikat ubat menetapkan harga sesuka hati dan kerajaan perlu bayar.
Sesetengah pemerhati politik berpendapat, ini semua kerja parti demokrat yang sesuka hati mengamalkan pasaran bebas.
Trump mahu ubah sistem ini. Caranya: bandingkan harga antarabangsa, dan bayar hanya yang paling rendah.
Syarikat ubat mendakwa jika dasar ini dikuatkuasakan mereka akan kerugian besar kerana pasaran AS ialah sumber utama keuntungan global. Mereka juga mendakwa aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) ubat baru akan terbantut, dan berkemungkinan ubat penting tidak akan dibekalkan kepada sesetengah hospital kerana margin keuntungan telah hilang.
Mereka juga ada kumpulan pelobi kuat hingga berjaya menghalang pelaksanaan dasar ini melalui sistem mahkamah.
Di Malaysia, harga ubat juga menjadi isu, terutama di hospital swasta. Ubat yang sama, dari jenama yang sama, boleh dijual pada harga berlipat kali ganda berbanding negara jiran.
Beberapa usaha untuk memperkenalkan kawalan harga ubat pernah dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan, tetapi mendapat tentangan dari pihak industri. Tanpa kawalan yang tegas, pengguna terus jadi mangsa.
Malaysia boleh meneliti model MFN sebagai inspirasi untuk membentuk dasar kawalan harga ubat yang adil dan telus.
Kita boleh perkenalkan sistem “international reference pricing” (IRP) – iaitu menetapkan harga maksimum ubat berdasarkan harga purata atau terendah dari negara-negara lain.
Harga ubat yang tinggi bukan hanya menyusahkan poket rakyat. Ia memberi kesan kepada semua lebih-lebih lagi kepada golongan rentan yang besar jumlahnya di Malaysia.
Jika negara besar seperti Amerika pun akhirnya sedar bahaya pengaruh Big Pharma, Malaysia juga tidak boleh terus berdiam diri. Dasar kawalan harga ubat perlu digerakkan dengan lebih berani.
Trump bukanlah contoh ideal dalam banyak hal, tetapi dalam isu ini beliau berani melawan kuasa korporat gergasi demi kepentingan pengguna.
Malaysia tak perlu meniru Trump, tetapi boleh mengambil pelajaran dalam konteks mengutamakan rakyat dalam dasar kesihatan. Kita tidak mampu lagi membiarkan harga ubat ditentukan oleh pasaran tanpa kawalan, ketika rakyat terus menanggung beban tak berkesudahan.
Zulkifli Arif – Pembaca politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.