Tuan Ibrahim Tegur Rakan Dalam PN, Henti Tulis-Komen Kelirukan Ahli

KUALA LUMPUR | 29 Jan 26 — Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan perlunya semua pihak dalam Perikatan Nasional (PN) kembali ke mekanisme dalaman bagi menyelesaikan kemelut dalaman gabungan itu, sambil menghentikan kenyataan terbuka yang hanya mengeruhkan keadaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam kenyataan yang diterbitkan hari ini, Tuan Ibrahim menekankan bahawa PN adalah gabungan yang menjadi harapan rakyat, dan setiap perbezaan pandangan mesti diurus dengan matang bagi memastikan muafakat sedia ada terus utuh.

“Hentikan kenyataan yang mengguris perasaan rakan muafakat. Jangan menikam belakang kawan sendiri, apatah lagi berbangga menjatuhkan rakan gabungan. Hormatilah keputusan parti-parti rakan, dan bersedia menerima teguran serta pandangan dengan lapang dada,” tegas beliau.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut menyorot peranan tulisan dan komen awam dalam menguatkan atau melemahkan gabungan.

“Ada pihak yang tulisannya baik dan membantu memperkukuh jemaah, itu penting bagi menjelaskan kekeliruan serta mendokong keputusan parti. Namun, ada juga pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia hanya berterusan mengelirukan ahli. Maka, tepuk dada tanya selera: di manakah posisi yang wajar kita ambil demi muafakat ini?”

Pemerhati politik menilai kenyataan ini sebagai teguran tersirat kepada segelintir pemimpin dan penulis dalaman PN yang dilihat kerap mengkritik atau memperlekehkan rakan gabungan secara terbuka, sehingga memberi peluang kepada pihak lawan untuk meruntuhkan perpaduan gabungan itu.

Dalam kenyataan itu, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa musuh sebenar PN bukan rakan muafakat, tetapi pihak yang menunggu untuk melihat gabungan itu berpecah. Justeru, langkah kembali memperkukuh muafakat, mengeratkan jalinan dan memperkemas kerjasama dianggap amat penting untuk memastikan PN terus diberi kepercayaan rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Apa PN Mahu? Soal Penganalisis

"Bawa wajah yang rakyat mudah hadam, biar mereka faham apa agenda sebenar PN. Agenda pemerkasaan Melayu seperti payung besar. Muafakat nasional antara PAS, Umno, atau Bersatu atau bentuk gabungan mewakili semua kaum.
Read More
Total
0
Share