
KUALA LUMPUR, 11 Ogos25 – Kerajaan disaran mempertimbangkan untuk beralih kepada model pembahagian kuasa negeri dan persekutuan yang lebih adil, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Samsuri Mokhtar.
Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, ‘model cooperative federalism’ dan juga ‘fiscal federalism’ menjadikan penyelesaian masalah rakyat sebagai keutamaan.
Model itu juga katanya mengatasi sempadan kerangka Perlembagaan yang direka bentuk untuk menyediakan kemerdekaan negara pada tahun 1957.
“Ini memerlukan pendekatan baharu dalam menyelaras dasar, pelaksanaan projek dan pengagihan sumber, termasuklah pembahagian kuasa percukaian yang lebih meluas supaya negeri memperolehi hasil yang lebih baik berbanding dengan kerangka yang ada pada masa ini,” katanya, dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Langkah itu katanya membolehkan peruntukan diberikan secara terus kepada negeri bagi melaksanakan projek nasional atau keutamaan negeri tanpa ketirisan, birokrasi atau kelewatan agensi pusat.
“Walaupun diumumkan projek pelaburan yang berbilion-bilion jumlahnya, namun pendapatan dan hasil kepada negeri adalah kecil sahaja.
“Kerajaan negeri hanyalah mempunyai kuasa kutipan cukai yang jumlahnya tersangat kecil, berbanding hasil kutipan cukai pendapatan syarikat dan individu yang diperolehi oleh kerajaan Pusat,” tambah Samsuri.
RMK13 katanya harus dijadikan peluang untuk memberi nilai tambah kuasa negeri, atau melakukan reformasi pengurangan kuasa persekutuan (decentralisation) dalam aspek dan kadar tertentu, supaya negeri dapat bergerak dengan lebih pantas tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian.
“Ini adalah untuk memastikan jika negeri dan Pusat berbeza politik, ianya tidak memberi kesan kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Rakyat sebenarnya tidak peduli siapa yang bertanggungjawab, sama ada Persekutuan atau negeri, apa yang penting, masalah mereka diselesaikan,” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.