Tular Mesej Didakwa Libatkan MPT BERSATU, Cadang Kerjasama PH atau BN

KUALA LUMPUR | 31 Julai 26 – Tular di media sosial tangkap layar perbualan yang didakwa berasal daripada kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang memaparkan perbincangan mengenai hala tuju parti itu selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menerusi tangkap layar yang dimuat naik oleh akaun Facebook “BERSETERU”, seorang pemimpin Bersatu didakwa mencadangkan supaya parti itu mempertimbangkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan pertembungan kerusi.

Tangkap layar itu juga memaparkan perbincangan mengenai kemungkinan penggunaan logo BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, selain persoalan mengenai kedudukan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam hantaran yang dimuat naik, pemilik akaun berkenaan mendakwa perbualan itu berlaku dalam tempoh 24 jam selepas keputusan PRN Johor diumumkan.

“Mohon nafikan, kami bersedia mendapatkan pengesahan daripada ahli MPT yang telah meletakkan jawatan,” menurut hantaran tersebut.

Bagaimanapun, kesahihan tangkap layar berkenaan masih belum dapat dipastikan, manakala tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang dinamakan dalam perbualan tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share