Tun M Gesa Kerajaan Batal Jemputan Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN

KUALA LUMPUR, 27 Sep 25 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa kerajaan Malaysia membatalkan jemputan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia.

Menurut beliau, tindakan itu perlu diambil kerana Trump dianggap sebagai pendukung utama jenayah kemanusiaan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin. Katanya, sejak Oktober 2023 lebih 70,000 rakyat Palestin termasuk 20,000 kanak-kanak terkorban dalam serangan tentera Israel yang disokong Amerika Syarikat.

“Pembantaian ini dipertahankan oleh Amerika Syarikat dan Trump, terbukti apabila mereka menggunakan kuasa veto untuk menyekat usaha gencatan senjata serta menghalang bantuan kemanusiaan ke Palestin,” katanya dalam rakaman video, di sini hari ini.

Tun Mahathir juga menegaskan, walaupun Malaysia negara kecil, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendirian tegas terhadap kekejaman Israel dan sekutunya.

“Rakyat kita ada yang bergadai nyawa bersama flotilla semata-mata tidak sanggup melihat kekejaman Israel,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik langkah beberapa negara Eropah, termasuk Britain, yang mengiktiraf negara Palestin walaupun tidak disenangi pentadbiran Trump.

Malah, katanya, tindakan Tentera Laut Sepanyol dan Itali menghantar kapal perang ke Mediterranean untuk melindungi misi flotilla kemanusiaan jelas menunjukkan perubahan sikap masyarakat antarabangsa terhadap Israel.

“Dengan membatalkan jemputan kepada Trump, kita menghantar mesej jelas bahawa manusia seperti dia, walaupun berkuasa, tidak diterima di Malaysia,” tegas Tun Mahathir, sambil menambah bahawa tindakan itu adalah satu tanggungjawab moral negara.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengesahkan bahawa Trump akan hadir ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan pada akhir Oktober. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share