
KUALA LUMPUR, 20 MEI 25 – Memansuhkan larangan berkaitan menyentuh kaum, agama, dan institusi beraja (3R) adalah tindakan pertama yang akan dilaksanakan Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya beliau kembali menjadi perdana menteri.
Dr Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali berkata, beliau menyokong kebebasan bersuara dan tidak mahu mulut rakyat ditutup menggunakan alasan 3R.
“Saya mesti tahu apa yang rakyat fikirkan. Kalau mulut mereka ditutup, mereka mungkin berfikiran buruk terhadap kamu, tetapi kamu pula rasa semuanya baik-baik sahaja.
“Apabila kamu tidak memberi respons terhadap masalah dan perasaan (rakyat), maka negara tidak akan maju (kerana) kita perlukan kebebasan bersuara,” katanya, dalam sesi dialog semasa pelancaran bukunya di Putrajaya, baru-baru ini.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata beliau tidak lagi mahu menjadi perdana menteri.
“Kalau saya jadi perdana menteri semula — minta dijauhkan Tuhan — saya tahu beberapa perkara yang perlu saya lakukan.
“Walaupun saya bukan perdana menteri, jika kerajaan sudi mendengar orang tua ini, saya sedia berkongsi beberapa idea,” tambahnya, yang berusia 100 tahun Julai ini. @politiko.my