
KUALA LUMPUR, 24 Jul 25 – Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan tidak akan memohon imuniti daripada perbicaraan sekiranya dihadapkan di mahkamah dalam isu Pulau Batu Puteh.
Sebaliknya, bekas perdana menteri dua kali itu menggesa kes berkenaan di bawa ke mahkamah sekiranya terdapat bukti yang mengatakan beliau bersalah.
“Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan.
“Imuniti untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah,” kata Dr Mahathir, dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat yang mengatakan tiada tindakan diambil terhadap Dr Mahathir kerana sudah berusia.
“Semalam di Dewan Rakyat, saya telah dijatuh hukum sebagai bersalah di dalam kes berkait tidak buat rayuan untuk Pulau Batu Putih.
“Walaupun saya dijatuh hukum bersalah tiada sebarang tindakan akan diambil kerana faktor umur saya.
“Dia kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walau bersalah. Ini maknanya saya dapat imuniti,” katanya.
Dr Mahathir turut memerli perdana menteri kerana bertindak seolah-olah dirinya seorang hakim.
“Yang hukum saya bersalah ialah Anwar. Yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Anwar.
“Ini bermakna Anwar bukan sahaja PM, dia juga hakim dan juga pendakwaraya. Begitulah hebat kuasanya.
“Tetapi Perlembagaan tidak sebut perdana menteri boleh jadi pendakwaraya atau hakim,” kata Dr Mahathir.
Anwar juga sebelum ini memohon imuniti di mahkamah daripada perbicaraan kes membabitkan dakwaan bekas pembantunya Yusoff Rawther, yang didakwa berkaitan salah laku seksual. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.