
KUALA LUMPUR, 2 DIS 25 – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan tindakan Anwar menandatangani tersebut didakwa dilakukan tanpa mandat sah daripada pihak yang mewakili Persekutuan Malaysia mengikut Perlembagaan.
“Perjanjian itu sebenarnya tidak sah kerana Perdana Menteri bukan satu-satunya wakil Persekutuan. Ia memerlukan persetujuan empat pihak iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, Majlis Raja-Raja dan badan eksekutif kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, ketiadaan persetujuan rasmi semua pihak tersebut menyebabkan ART didakwa tidak berperlembagaan.
Beliau turut mendedahkan dokumen ART setebal 400 muka surat itu tidak pernah dibuka kepada pengetahuan umum, selain mendakwa terdapat klausa yang menjejaskan kuasa kedaulatan Malaysia.
“Terdapat klausa yang menyerahkan kuasa negara kepada Amerika Syarikat. Setiap tindakan perlu dirujuk kepada mereka dan keputusan menentukan boleh atau tidak dilakukan, terletak pada Amerika,” tegasnya.
Mengenai kedudukan Bumiputera, Dr. Mahathir berkata perjanjian itu tidak melindungi hak istimewa seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Keistimewaan Bumiputera tidak terpakai kepada barangan atau syarikat Amerika. Jika ada hak kepada Bumiputera, ia mesti diberikan setara kepada Amerika Syarikat. Ini menidakkan kuasa istimewa Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata polis wajar menyiasat sama ada Perdana Menteri telah melanggar undang-undang negara atau Perlembagaan Persekutuan, sambil memaklumkan lebih 139 laporan polis berhubung isu sama telah dibuat oleh individu dan NGO di seluruh negara.
Dalam reaksi sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menolak dakwaan bahawa ART memberi syarikat Amerika hak setara Bumiputera.
Beliau turut mencabar Dr. Mahathir mengemukakan klausa khusus yang menyentuh keistimewaan Bumiputera seperti dituduh.
Menurut Tengku Zafrul, tafsiran bahawa Artikel 6.2 kononnya memaksa GLC beroperasi hanya atas pertimbangan komersial hingga menafikan dasar Bumiputera adalah tidak tepat, sambil menegaskan kedaulatan serta hak Bumiputera kekal terpelihara dalam ART. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.