
KUALA LUMPUR | 6 Jan 25 — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan bahawa parti itu akan terus menjadi komponen Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal dan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), menepis spekulasi mengenai sebarang perubahan politik menjelang pilihan raya akan datang.
Memetik laporan Awani, Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata pendirian itu telah diputuskan sejak awal dan UMNO tidak akan melibatkan diri dalam sebarang cubaan “backdoor” untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. Beliau menegaskan bahawa parti akan terus menyokong kestabilan pentadbiran sehingga penggal berakhir menjelang PRU16.
“Kita akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, sebelum Pilihan Raya Umum ke-16,” tegas Zahid sambil menafikan sebarang keinginan untuk melakukan percaturan politik yang boleh menggugat kestabilan kerajaan.
Zahid turut menyatakan bahawa UMNO ingin mengelakkan kesilapan lalu dalam rundingan kerjasama politik dengan pihak lawan yang dianggap tidak membawa manfaat, dengan memberi amaran bahawa parti tidak mahu “dipatuk oleh ular yang sama di tempat yang sama lagi”.
Isu ini timbul susulan cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, semasa konvensyen sayap parti pada 3 Januari 2026, yang menggesa UMNO untuk menjalin semula kerjasama dengan PAS di bawah Muafakat Nasional serta menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang.
Bagaimanapun, Zahid menjelaskan bahawa meskipun cadangan tersebut dibincangkan secara terbuka pada mesyuarat Biro Politik UMNO, tidak ada keputusan muktamad dicapai dan keputusan mengenai hala tuju kerjasama politik akan diumumkan oleh parti apabila tiba masanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.