Muhyiddin Ke UK Bersama Keluarga Hingga Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 2 DIS 25 — Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan akan ke luar negara bermula minggu hadapan sehingga Jan akan datang.

Presiden Bersatu itu dilapor meluangkan masa bersama keluarganya di United Kingdom selain menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin benarkan permohonan dengan syarat tempoh pemulangan pasport dipendekkan bermula 8 Dis 2025 hingga 5 Jan 2026.

Sebelum ini, mahkamah telah beberapa kali membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasportnya secara sementara antaranya bagi menghadiri majlis graduasi cucu dan konsultasi berhubung penyakit kanser pankreas yang dihadapinya di London, pemeriksaan perubatan di Singapura dan menghadiri majlis pembukaan restoran rakannya di Thailand.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung minggu lalu PN kalah di 40 kerusi daripada 41 kerusi yang ditandinginya.

PN hanya menang di kerusi ditandingi PAS di DUN Karambunai melalui calon Datuk Dr Aliakbar Gulasan. Parti Islam itu bertanding di 5 kerusi dengan Gerakan juga kalah di tiga kerusi ditandingi.

Manakala Bersatu yang ditunjangi Muhyiddin kalah semua 33 kerusi ditandingi.

Selain itu, Muhyiddin juga sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa dan menerima wang haram berjumlah RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd.

Bersatu juga menghadapi krisis dalaman  selepas beberapa pemimpin akar umbi dipecat dari parti atas dakwaan cuba menjatuhkan Muhyiddin sebagai presiden. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share