
KUALA LUMPUR, 14 NOV 25 – Umno Bahagian Sipitang mengambil pendirian tegas apabila memutuskan tidak akan memberikan sebarang kerjasama kepada calon PKR-PH yang bertanding di kerusi DUN Sindumin.
Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Umno Bahagian Sipitang, dipengerusikan sendiri Ketuanya, Abd Rahman Mohd Noh, susulan pengumuman calon Umno Sabah pada 9 Nov lalu.
Menurut Abd Rahman, Umno Sipitang berdukacita kerana kerusi Sindumin tidak diberikan kepada calon Umno-BN, sedangkan bagi DUN Lumadan, parti itu menampilkan Datuk Mohd Nazri Abdullah sebagai calon rasmi BN.
Sehubungan itu, Umno Sipitang akan memfokuskan sepenuhnya jentera untuk membantu kemenangan calon parti di Lumadan.
Bagaimanapun, tegasnya, Umno Sipitang tidak akan bekerjasama dengan PKR-PH di Sindumin, selaras dengan Perlembagaan Umno Perkara 20.11 dan 20.13 yang melarang bantuan kepada individu yang pernah mengkhianati dan dipecat daripada parti.
Dalam langkah drastik, Abd Rahman turut mengumumkan penutupan serta-merta 17 Bilik Gerakan di kawasan DUN Sindumin.
Beliau turut menegaskan jentera BN di kawasan itu tidak dibenarkan sama sekali digunakan oleh mana-mana parti lain untuk tujuan kempen.
“Keputusan ini dibuat bagi mempertahankan maruah dan perjuangan Umno di Sipitang,” katanya.
Pada Ahad lalu, Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Datuk Yamani Hafez, anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tun Musa Aman, sebagai calon PH di DUN Sindumin bagi PRN17. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.