Umur Jadi PM Harus Dilihat Dalam Konteks Lebih Luas – Penganalisis Politik

KUALA LUMPUR, 18 Sep 25 – Beberapa penganalisis politik berpandangan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (TGHA), bahawa pemimpin berusia 70 tahun ke atas lebih sesuai menjadi penasihat, perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak dijadikan garis panduan mutlak.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata dalam konteks politik Malaysia, umur 60 hingga 70 tahun masih dianggap produktif, malah ada tokoh berusia 80 tahun yang mampu memimpin dengan baik selagi mempunyai visi, misi dan keupayaan.

“Kalau kata 70 tahun ke atas hanya sesuai jadi penasihat, ia merugikan kepimpinan negara. Ada orang 70 masih muda lagi dalam politik. Kadang-kadang orang muda pun tiada idea. Yang penting ialah ketokohan, pengalaman dan visi.

“Dalam Bersatu contohnya, Muhyiddin sudah 70-an, manakala Hamzah dan Azmin pula di hujung 60-an dan 50-an. Jika ikut kenyataan itu, seolah-olah ramai tokoh sudah dianggap ‘outdated’,” katanya.

Beliau turut memberi contoh bahawa dalam PAS sendiri terdapat tokoh berusia seperti Shahidan Kassim dan Annuar Musa yang masih relevan kerana pengalaman mereka.

Sementara itu, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid , berkata kenyataan Abdul Hadi boleh juga ditafsir sebagai sindiran politik, termasuk terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru-baru ini dicalonkan sebagai perdana menteri oleh partinya, serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mencecah usia 80 tahun menjelang 2027.

“Namun jika diteliti, usia bukanlah faktor mutlak dalam menentukan kelayakan pemimpin. Lebih penting ialah ilmu, integriti, kecerdasan dan ketangkasan fizikal untuk turun padang.

“Sejarah menunjukkan ramai pemimpin berusia lebih 70 tahun tetap berjaya, seperti Nelson Mandela dan Ronald Reagan. Dalam Islam, faktor utama ialah taqwa, bukan usia semata-mata,” katanya.

Ahmad Fauzi menambah, tidak guna memilih pemimpin muda jika gagal menjaga amanah dan terjebak dengan salah laku.

Kenyataan Abdul Hadi mengenai had umur pemimpin sebelum ini mencetuskan perdebatan, termasuk dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional sendiri yang sedang berdepan isu pencalonan perdana menteri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share