
KUALA LUMPUR, 11 NOV 25 — Penganalisis politik, Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpandangan keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) keluar dari gabungan, mencerminkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menyelesaikan isu hubungan kuasa antara parti-parti di Sabah dan Sarawak dengan rakan mereka di Semenanjung.
Menurutnya, walaupun PH sering membawa imej reformis dan menekankan semangat federalisme baharu, parti itu masih belum menunaikan harapan untuk menurunkan lebih banyak kuasa autonomi kepada parti tempatan di Borneo.
“Di Sabah dan Sarawak, ada permintaan besar supaya lebih banyak aliran kuasa diturunkan kepada parti-parti tempatan, tapi PH masih gagal menunaikan harapan ini walaupun sudah hampir sepenggal bekerjasama,” katanya kepada politiko.
Prof Ahmad Fauzi menegaskan tindakan UPKO baru-baru ini perlu dilihat sebagai peringatan kepada PH supaya menunaikan janji-janji pasca pilihan raya yang dibuat ketika rundingan pembentukan kerajaan perpaduan.
“Tindakan yang diambil ini bukan penolakan terhadap kerajaan perpaduan, tetapi isyarat politik agar janji-janji manis tidak tinggal sekadar gula-gula untuk memancing sokongan parti Sabah dan Sarawak,” jelas beliau.
Beliau turut menambah bahawa walaupun UPKO menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pengagihan kuasa, parti itu tidak menarik diri daripada menyokong kerajaan perpaduan di Parlimen.
“Kestabilan kerajaan perpaduan masih terpelihara sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.
Penganalisis itu menjelaskan, isu agihan kuasa dan penghormatan terhadap autonomi politik tempatan akan terus menjadi faktor penting dalam hubungan antara parti-parti Sabah–Sarawak dengan blok politik di Semenanjung, khususnya apabila kerajaan perpaduan semakin hampir menamatkan penggal pertamanya.
Semalam, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bertindak mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta selepas empat tahun bersama gabungan itu.
Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Agang berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti yang diadakan semalam bagi membincangkan hala tuju perjuangan berasaskan agenda Sabah First. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.